Gadis promoter minuman keras minta tidak dipanjangkan isu kena maki
Sinar Harian
November 21, 2018 16:11 MYT
November 21, 2018 16:11 MYT
SUSULAN kejadian seorang promoter yang dimaki oleh seorang lelaki di sebuah pasar raya menerusi video yang tular sehingga membangkitkan kemarahan rakyat Malaysia, gadis tersebut meminta agar isu tersebut tidak dipanjangkan.
Ia dimaklumkan oleh syarikat di mana tempat gadis tersebut bertugas, dalam satu kenyataan, hari ini.
Pengarah urusan syarikat itu berkata, pihaknya kecewa mengenai bagaimana promoter berkenaan diperlecehkan semasa bertugas walaupun memenuhi piawaian dan peraturan.
Menyifatkan tindakan lelaki tersebut merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima, beliau berkata syarikat bagaimanapun berbangga dengan gadis tersebut dalam menangani situasi yang sukar ketika itu.
Malah katanya, syarikat menawarkan sokongan sebaik sahaja petugas tersebut membuat laporan kejadian.
“Kami ingin menegaskan bahawa aktiviti pensampelan kami hanya untuk orang bukan Islam pada had usia yang dibenarkan mengikut undang-undang.
“Walaupun kami mempunyai hak di atas perkara (insiden) ini, keutamaan kami adalah keselamatan promoter. Kami menghormati keputusan promoter tersebut untuk tidak memanjangkan perkara ini lagi,” katanya.
Beliau berkata, promoter berkenaan menghargai kata-kata sokongan yang diterima daripada semua pihak.
Tambah beliau, gadis tersebut meminta semua pihak untuk menghormati privasinya dengan tidak menyebarkan imej, video dan maklumat peribadinya.
“Syarikat menghormati keputusan promoter tersebut dan terus menawarkan bantuan kepadanya serta memantau keadaan pada masa sama,” katanya.
Dalam kejadian pada Ahad lalu, tular satu video di mana seorang lelaki bertindak memarahi seorang promoter di sebuah pasar raya berbangsa Cina yang didakwanya cuba mempromosikan minuman keras kepada orang-orang Islam.
Meskipun sudah dijelaskan oleh promoter itu, dia hanya mempromosikan minuman itu kepada 'non-Muslim', tetapi lelaki yang dikenali sebagai Edi Rejang turut bertindak secara keterlaluan apabila menunjukkan isyarat lucah kepada promoter wanita berkenaan.
Dia juga memarahinya kerana menggunakan bahasa Inggeris, tidak bahasa Melayu, ketika berkomunikasi dengannya.
Lelaki berkenaan yang lebih dikenali sebagai Edi Rejang kemudian membuat permohonan maaf secara terbuka di laman sosial apabila dikecam netizen.
#Cina
#Edi Rejang
#isyarat lucah
#keselamatan
#laman sosial
#Maaf
#Melayu
#minuman keras
#pasar raya
#promoter
#video