Gadis peramah hilang di Melaka, bapa syak anak dibawa lari

Raffi Bachik
Disember 26, 2015 18:41 MYT
Intan Suliyana Mohamad Som, 18, hilang sejak Rabu lepas selepas membayar bil di sebuah pusat beli-belah di Peringgit. - Gambar Bernama
Sepasang suami isteri bimbang dan buntu keselamatan anak gadisnya yang peramah yang tidak pulang ke rumah sejak Rabu lalu, selepas meninggalkan rumahnya di Taman Rumpun Bahagia, Bachang di sini.
Intan Suliyana Mohd Som, 18 tahun dikatakan hilang selepas keluar berjalan kaki kira-kira 1.5 km dari rumahnya untuk membayar bil di sebuah pusat membeli-belah di daerah Peringgit.
Ibunya Norasiah Ab Hamid, 52 tahun berkata, pada hari kejadian, anaknya dikatakan keluar dari rumah kira-kira jam 1 petang dan hanya menyedari kehilangan anak ke lapan daripada 11 beradik itu selepas tidak pulang ke rumah sehingga jam 4.30 petang.
Menurutnya, dia dan suami berusaha mencari Intan namun gagal menemuinya.
“Dalam pukul 4 lebih, makcik rasa lain macam sahaja sebab anak tidak balik. (Mak cik) cuba telefon dan telefon bimbitnya tidak berjawab sampai ke malam.
“Lepas itu saya cakap dengan suami dan pakcik berkata: ‘Saya rasa dia dibawa lari orang," kata Norasiah.
Dia mengakui tidak berputus asa menghubungi telefon bimbit anaknya itu walaupun panggilannya tidak berjawab.
Pada hari kehilangannya, gadis terbabit ada menghantar Mesej Pesanan Ringkas (SMS) kepada ibunya untuk meminta pertolongan namun, apabila Norasiah cuba menghubungi telefon bimbit anaknya itu sudah pun dimatikan semula.
Norasiah bertambah pelik dan risau apabila menjelang jam 12 tengah malam hari yang sama, anak gadisnya itu sekali lagi menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) tetapi kepada kakaknya dengan mengatakan jangan risau tentang keadaan dirinya dan dia berada dalam keadaan selamat.
Dia kemudian membuat laporan polis pada petang Khamis di Balai Polis Melaka Tengah untuk mengesan lokasi anaknya serta berikhtiar dengan pelbagai cara untuk membawa anak gadisnya itu pulang ke rumah.
Norasiah berkata, anak gadisnya itu tidak menunjukkan sebarang reaksi aneh sebelum ini sehingga menyebabkan dia lari dari rumah.
Katanya, Intan merupakan seorang gadis yang sangat peramah dan lurus serta lembut hati sehingga menyebabkan dia mudah termakan dengan pujuk rayu sesiapa sahaja yang mendekatinya.
Dia turut menyifatkan anak gadisnya itu seorang yang mudah melahirkan rasa simpati dan seorang yang patuh dan boleh diharap namun tidak menyangka kejadian seumpama ini boleh terjadi kepadanya.
Justeru, dia meminta jasa dan bantuan orang ramai untuk mencari anaknya itu.
Kali terakhir Intan keluar rumah ialah dengan memakai tudung bewarna coklat, berbaju t-shirt lengan panjang berwarna hitam serta memakai kasut bertali merah.
Sesiapa yang ternampak di mana Intan berada boleh menghubungi Norasiah di talian 014-2363042.
#hilang #Intan Suliyana Mohd Som #Melaka
;