Gadis jadi 'pemuas nafsu' bapa sejak berusia 6 tahun
Dewi Nur Harasha Alias
Mei 28, 2021 16:59 MYT
Mei 28, 2021 16:59 MYT
BUKIT MERTAJAM: Penderitaan seorang gadis berusia 18 tahun yang dipercayai menjadi mangsa rogol dan liwat bapa kandung sendiri sejak 12 tahun lalu akhirnya terbongkar apabila mangsa membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai makan membuat laporan dicabul bapanya yang berusia 45 tahun, Selasa lepas.
Mangsa memberitahu bapa yang bekerja sebagai juruteknik telah mencabulnya ketika berada di ruang tamu rumah mereka di sebuah apartment di Bukit Mertajam.
"Bagaimanapun hasil soal siasat lanjut ke atas mangsa mendapati dia sebenarnya dipercayai telah dipaksa melakukan hubungan seks sejak berusia enam tahun malah pernah diliwat semasa berusia 15 tahun.
"Kejadian itu dipercayai berterusan sehingga dia berusia 18 tahun. Mangsa merahsiakan kejadian tersebut daripada pengetahuan ibunya kerana tidak mahu menjejaskan hubungan kedua-dua ibu bapanya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, bagaimanapun akibat tertekan mangsa akhirnya membuka mulut dan tampil membuat laporan polis.
Mangsa telah dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk pemeriksaan lanjut.
Shafee berkata, polis kini sedang mengesan suspek yang dipercayai telah melarikan diri dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
#Remaja perempuan
#mangsa rogol
#liwat
#Bapa kandung
#cabul
#pulau pinang
#Seberang Perai Tengah
#polis
#Shafee Abd Samad
#juruteknik
#apartment Bukit Mertajam
#Hospital Seberang Jaya