Gadis hilang dirayu pulang
Bernama
Januari 7, 2013 06:42 MYT
Januari 7, 2013 06:42 MYT
Seorang gadis dirayu supaya segera pulang ke pangkuan keluarga bagi memberi penghormatan terakhir kepada mayat neneknya yang akan dikebumikan esok.
Chua Cheng Lan, 21, yang pernah bekerja sebagai jurujual di sini, hilang dari rumahnya di Kampung Peringat sejak enam bulan lepas kerana dipercayai mengikut teman lelaki.
Bapanya, Chua Chee Huat, 52, yang bekerja sebagai tukang cat kereta di sini berkata beliau telah membuat laporan di Balai Polis Melor berhubung kehilangan anak gadisnya itu, pada Julai lepas.
"Bagaimanapun, anak saya tidak pulang sehinggalah neneknya meninggal dunia kelmarin kerana sakit tua. Saya amat berharap supaya anak saya itu dapat pulang ke pangkuan keluarga," katanya kepada pemberita di Kampung Aril, Pauh Lima di sini.
Neneknya Lua Mek Hong, 79, meninggal dunia dua hari lepas.
Chee Huat berkata beliau telah mendapatkan kerjasama dengan Biro Aduan MCA Bahagian Kota Baharu untuk mencari anaknya.
Menurutnya anaknya itu pernah melarikan diri dari rumah pada 2011 tetapi dijumpai di Kampung Perasu, Gua Musang bersama-sama teman lelakinya.
Ibu gadis itu, Sriworn Inta, 50, yang berasal dari Thailand berkata beliau tidak marah jika Cheng Lan sudah berkahwin dengan lelaki pilihannya tetapi memintanya pulang demi mendiang neneknya.
Orang ramai yang mempunya maklumat mengenai Cheng Lan boleh menghubungi keluarganya atau bapa saudaranya, Chua Chee Seng, di Kampung Peringat, Jalan Pasir Puteh atau menelefon ke talian 019-9838059.