Gadis 19 tahun ditahan dipercayai buang bayi dari tingkat 13 hotel

Nuzuluddin Abdul Razak
Januari 14, 2021 13:12 MYT
Kata Awang Din, mayat bayi malang itu dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut manakala suspek juga dihantar ke hospital sama untuk rawatan.
KUCHING: Polis menahan seorang gadis berusia 19 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes buang bayi dari sebuah hotel di Jalan Bukit Mata dekat Kuching pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata gadis yang dipercayai ibu bayi berkenaan ditahan di bilik hotel tersebut malam Rabu.
Menurutnya, polis menerima maklumat orang awam sekitar jam 9.20 malam mengenai penemuan mayat bayi di belakang sebuah bank di Jalan Bukit Mata, Kuching.
"Bertindak atas maklumat tersebut sepasukan polis melakukan siasatan di tempat kejadian dan menemui mayat bayi terbaring dengan kecederaan di kepala.
"Hasil siasatan lanjut, pihaknya berjaya menahan seorang perempuan warga tempatan disyaki ibu kepada bayi berkenaan di bilik sebuah hotel," katanya dalam kenyataan.
Kata Awang Din, mayat bayi malang itu dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut manakala suspek juga dihantar ke hospital sama untuk rawatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun keseksaan.
#buang bayi #Jalan Bukit Mata #Kuching #Awang Din Awang Gani #bayi maut #wanita ditahan
;