Gadis 18 tahun trauma dipaksa tidur dengan bapa tiri
Astro Awani
Oktober 28, 2018 19:35 MYT
Oktober 28, 2018 19:35 MYT
Seorang gadis berusia 18 tahun dilapor trauma selepas dipaksa tidur bersama bapa tirinya pada Jumaat lalu.
Gadis itu mendakwa bapa tirinya yang berusia 50 tahun dan tidak lagi bekerja itu telah memaksanya tidur sekatil di tengah-tengah bersama ibu kandungnya sejak dua minggu lalu.
Dia turut mendakwa diberi alasan tindakan mengajaknya tidur sekatil adalah bagi menghalang mangsa daripada diganggu makhluk halus.
“Dia suruh saya tidur tengah sebab ada makhluk halus yang mengganggu saya. Dia suruh saya tidur tengah sebab dia kata nak jaga saya di tengah-tengah ibu kandung dengan ayah tiri.
"Tapi saya tidak boleh terima tidur tengah di antara dua orang,” kata mangsa.
Ketika diminta menceritakan kejadian itu, mangsa berkata dia tidak dapat tidur sepanjang malam kerana bimbang akan keselamatan dirinya.
Walaupun tidak diapa-apakan, mangsa mendakwa trauma dan dengan atas nasihat ADUN Teruntum, laporan polis telah dibuat.
Menurut mangsa lagi, bapa tirinya yang berkahwin dengan ibunya yang berusia 44 tahun sejak sembilan tahun lalu juga pernah memaksanya memeluk agama Islam namun dia menolak.
Katanya lagi, pada tahun lalu bapa tirinya pernah menamparnya kerana mendakwa dia berkawan dengan rakan yang tidak senonoh.
Malah menurutnya, kehidupannya sebagai remaja dikawal ketat serta hanya dibenar keluar rumah untuk ke kolej sahaja.
Sementara itu, ADUN Teruntum Sim Chon Siang berkata beliau akan membawa kes ini untuk perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan meminta khidmat nasihat mereka bagi memastikan nasib mangsa terbela.
Mangsa kini tinggal bersama ibu saudara sementara menunggu tindakan lanjut oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat atau pihak polis.
#ADUN Teruntum
#ibu kandung
#Jabatan Kebajikan Masyarakat
#makhluk halus
#tidak senonoh
#tidur dengan bapa tiri
#trauma