Gading disyaki milik bangkai gajah pygmy ditemui
Radhi Muslim
Oktober 24, 2019 20:41 MYT
Oktober 24, 2019 20:41 MYT
Gading yang disyaki milik bangkai gajah pygmy Borneo yang ditemui mati di sebuah ladang di Beluran, berjaya ditemui berdekatan lokasi kejadian pada Rabu.
Ia ditemui pekerja ladang dalam kawasan semak di ladang terbabit pada kira-kira jam 1 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, sebaik menerima maklumat, pasukan polis bersama pengurus ladang pergi ke tempat kejadian untuk membuat siasatan lanjut.
"Kemudian gading itu berjaya ditemui dan diambil untuk siasatan lanjut.
"Setakat ini, tiada tangkapan dilakukan berkaitan kes ini dan kami masih mencari maklumat berkaitan suspek kes ini.
"Dalam pada itu, sekali lagi kami menegaskan tiada peluru ditemui dalam badan gajah tersebut semasa bedah siasat dan ini menolak kemungkinan punca kematian adalah akibat tembakan," katanya dalam satu kenyataan media, pada Khamis.
Menurutnya, bagaimanapun punca kematian sebenar masih belum dipastikan.
Tambah beliau, polis memohon kepada sesiapa yang mempunyai maklumat untuk tampil.
Terdahulu, pada Sabtu lalu, bangkai seekor gajah ditemui dengan lima kesan luka disyaki akibat tembakan.