Gabungkan kembali Felda dan FGV - Bekas CEO
Najib Aroff
Oktober 22, 2020 16:32 MYT
Oktober 22, 2020 16:32 MYT
KUALA LUMPUR: Felda dan FGV Holdings Berhad (FGV) harus digabungkan semula bagi mengurangkan kos operasi kedua firma itu, menurut bekas Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad.
Menurut beliau, penggabungan itu pernah berlaku ketika Felda di bawah kepimpinan Tan Sri Raja Muhammad Alias Raja Muhammad Ali.
“Dalam penggabungan ini, hanya seorang Pengerusi Kumpulan sahaja yang dilantik untuk memimpin kedua-dua organisasi ini.
“Penggabungan ini sekurang-kurangnya akan dapat mengurangkan pertindihan tenaga kerja seperti kakitangan audit, kakitangan pentadbiran, R&D (kajian dan penyelidikan) dan sebagainya.
“Penggabungan ini dapat mengurangkan kos pentadbiran bagi kedua-dua institusi ini yang kini berjumlah RM1.7 billion kepada RM1 billion sahaja, iaitu penjimatan sebanyak RM700 juta setahun,” katanya kepada Astro AWANI.
Zakaria berkata, penggabungan itu juga tidak akan melibatkan sebarang bayaran pampasan untuk Perjanjian Pajakan Tanah (LLA).
“Ianya akan menjadikan gabungan ini bertambah kukuh kerana mereka mempunyai ladang seluas kira-kira 850,000 hektar, lebih besar dari ladang Sime Darby.
“Saya menjangkakan pemegang saham FGV sekarang akan menyambut baik penggabungan ini kerana mempunyai potensi besar untuk memberikan keuntungan kepada pelaburan mereka.
“Ladang-ladang dan aset-aset Felda tidak terlepas ke tangan yang lain. Ini sudah tentu mengembirakan kebanyakan peneroka dan generasi seterusnya.
“Peranan Koperasi Permodalan Felda (KPF) akan dapat diperkasakan semula serta akan dapat memberikan dividen yang lumayan seperti masa dahulu,” katanya lagi.
Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh pada Selasa menegaskan firma itu mahu mengambil semula tanah yang dipajak kepada FGV di bawah LLA.
FGV pula dalam satu kenyataan berkata pihaknya belum dihubungi berkaitan cadangan tersebut.
#Felda
#FGV
#penggabungan
#kos pentadbiran
#Perjanjian Pajakan Tanah
#peneroka
#Zakaria Arshad
#Raja Muhammad Alias Raja Muhammad Ali