Gabungan usahawan, selebriti dalam satu karnival bantu rancakkan jenama tempatan dalam pasaran
Bernama
Disember 31, 2023 05:45 MYT
Disember 31, 2023 05:45 MYT
BATU KAWAN: Penganjuran karnival yang menggabungkan usahawan makanan dan minuman dengan selebriti tempatan mampu merancakkan lagi industri keusahawanan seterusnya membantu terutama mereka yang baru hendak meningkat naik untuk mengembangkan lagi jenama dalam pasaran.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar Pulau Pinang Rashidi Zinol berkata kerajaan negeri dengan kerjasama agensi pelaksana sentiasa menggalakkan anak muda untuk menceburi bidang itu kerana ia dilihat mempunyai potensi besar sekiranya diusahakan secara serius.
Katanya, penglibatan artis dan atau pempengaruh pula dapat membuka peluang untuk menyerlahkan sesuatu produk yang diusahakan sekali gus membantu mengukuhkan jenama yang dibawa.
"Oleh sebab itu kita sentiasa menggalakkan penganjuran karnival berskala besar seperti ini kerana ia bukan saja menjadi medan menghimpunkan ramai usahawan muda tetapi juga platform terbaik untuk mereka menaik taraf dan standard perniagaan masing-masing.
Gabungan secara holistik seperti ini dapat membantu sesama peniaga. Selain itu, kehadiran pelanggan juga penting kerana sokongan mereka dapat bantu menaikkan jenama keluaran anak tempatan," katanya semasa ditemui ketika mengadakan tinjauan di tapak Absolut Food Fest Penang di perkarangan Stadium Batu Kawan, di sini, pada Ahad.
Karnival yang berlangsung selama tiga hari bermula Sabtu dan berakhir hari ini (Isnin) , menggabungkan sebanyak 150 gerai usahawan tempatan dan selebriti tanah air dengan 30 peratus daripadanya terdiri daripada usahawan dari Pulau Pinang.
Acara dijangka menarik seramai 100,000 pengunjung dengan turut menampilkan kehadiran barisan artis popular seperti Uqasha Senrose, Andi Bernadee, Luqman Podolski, Baby Shima, Khai Bahar dan ramai lagi.
Rashidi berkata kerajaan negeri mempunyai peruntukan kepada mana-mana usahawanan yang hendak memulakan perniagaan malah agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) turut menyediakan bantuan seperti geran dan peralatan mengikut kesesuaian dan kelayakan pemohon.
-- BERNAMA