Gabungan persatuan-persatuan veteran ATM ditubuh
Bernama
Disember 1, 2019 04:31 MYT
Disember 1, 2019 04:31 MYT
Sekumpulan veteran tentera dikenali sebagai Suara Veteran mengorak langkah baharu dengan menubuhkan Gabungan Persatuan-persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) demi memperkasa pergerakan, tuntutan hak, kemudahan dan kebajikan golongan itu serta tanggungannya.
Koordinator Suara Veteran, Leftenan Kolonel (B) Jalil Ithnin berkata ia merupakan gabungan daripada 148 persatuan veteran ATM di seluruh negara yang terdiri daripada 305,000 ahli dan telah berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV).
"Gabungan ini adalah satu gagasan veteran yang bergerak untuk menyatukan suara. Kami berpendapat tiada persatuan veteran yang kecil akan dapat membela nasib mereka tanpa adanya bilangan yang besar atau gabungan.
"Jadi, konsep gabungan ini untuk mendapatkan sebulat suara yang besar dan lantang untuk didengar tanpa menjejaskan status quo setiap persatuan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat penubuhan jawatankuasa Gabungan Persatuan-persatuan Veteran ATM di sini, pada Ahad.
Melalui gabungan itu, Jalil yang juga bekas pegawai kanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berkata Suara Veteran memohon Majlis Angkatan Tentera (MAT) mengkaji semula penyelarasan pencen dan kadar elaun kepada veteran cacat akibat perang, yang dilihat tidak setimpal dengan jasa dan pengorbanan perajurit berkenaan.
"Kami juga berharap MAT akan mewujudkan satu sistem dan kaedah untuk memberi pengampunan mengikut masa kepada bekas pegawai serta anggota yang diberhentikan atas kesalahan tatatertib mengikut merit masing-masing selain mengadakan perlindungan keselamatan sosial.
"Misi kami adalah untuk bergerak sebagai satu badan yang boleh membayangi gerak-geri Majlis Veteran Kebangsaan (MVK), MAT dan JHEV," katanya.
-- BERNAMA
#Angkatan Tentera Malaysia
#ATM
#Jalil Ithnin
#Majlis Angkatan Tentera
#Majlis Veteran Kebangsaan
#penyelarasan pencen
#perang
#persatuan veteran ATM
#Suara Veteran
#veteran
#veteran cacat