Gabungan NGO serah memorandum bantah penyahwartaan HSKLU
Fareez Azman
September 3, 2021 14:38 MYT
September 3, 2021 14:38 MYT
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor terutama Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari diminta agar membatalkan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).
Rayuan dibuat sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO) susulan tindakan penyahwartaan hutan simpan seluas 536.7 hektar itu pada 12 Ogos lalu.
Menurut Pemuda Otai Reformasi, Fazli Hassan, tindakan kerajaan negeri itu amat mengecewakan terutama apabila bantahan menerusi Usul no 26 yang diluluskan ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor pada 11 November tahun lalu seolah-olah tidak diendahkan.
"Kami warga Selangor menyatakan rasa kecewa kerana tindakan Kerajaan Negeri Selangor melaksanakan penyahwartaan hutan simpan itu yang diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 5 Mei 2021 dan diwartakan dalam Warta Kerajaan Negeri pada 12 Ogos 2021 baru-baru ini.
"Kami juga sedih tindakan kerajaan negeri tidak menghormati keputusan sebulat suara bantahan dari ADUN negeri Selangor yang menyokong penuh Usul 26 dalam Sidang Dewan pada 11 November tahun lepas.
"Kami juga berasakan sesi pendengaran awam yang diadakan kerajaan negeri di Pulau Carey, Banting pada 29 September 2020 hanya umpama melepaskan 'batuk di tangga' sahaja bagi melengkapkan proses meluluskan penyahwartaan tersebut," katanya dalam sidang media di hadapan Bangunan SUK pada pagi Jumaat.
Dalam pada itu, Setiausaha Otai Reformasi, Abdul Razak Ismail pula mendakwa wujud salah guna kuasa dalam penyahwartaan hutan simpan tersebut.
Lebih kesal katanya, Amiruddin sebelum ini telah memberi jaminan bahawa penyahwartaan itu akan ditangguh, namun berlaku sebaliknya.
"Kita berasa amat kesal MB Selangor pada dua malam lepas beri jaminan penyahwartaan ini akan ditangguh, itu janji dia kepada Biro Politik Keadilan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kita cuba nak menyatakan di sini, itu satu bentuk pembohongan, kerana pada 12 Ogos 2021 di warta Kerajaan Negeri Selangor bahawa tanah yang diberikan kepada syarikat itu tadi telah lucut status hutan simpan.
"Jadi jaminan MB itu adalah salah, saya minta ADUN-ADUN untuk buat aduan terhadap Menteri Besar kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana beri maklumat palsu kepada kepimpinan Pakatan Harapan," dakwanya lagi.
Tambah beliau, sehingga kini lebih 45,000 surat bantahan telah disampaikan kepada Pejabat Perhutanan Negeri Selangor mengenai penyahwartaan itu.
Manakala lebih 100,000 tandatangan petisyen telah diterima secara atas talian untuk membantah cadangan berkenaan.
"Kami agak curiga bagaimana Kerajaan Negeri Selangor boleh serahkan tanah berkeluasan 536 hektar itu kepada satu syarikat iaitu syarikat Gabungan Indah Sdn Bhd yang didaftarkan pada 2 November 2020," katanya lagi.
Jelasnya lagi, Otai Reformasi akan membuat laporan polis agar siasatan dapat dijalankan terhadap isu itu.
Bagi Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil pula beliau meminta agar Hutan Simpan Kuala Langat Utara itu dapat dirizabkan kembali sebagai hutan simpan kekal.
Jelasnya, ia bagi memastikan hutan simpan di Negeri Selangor dapat dipelihara daripada pembangunan.
"Hutan itu tidak boleh tukar ganti, sekarang Kerajaan Negeri Selangor kata 30 peratus masih hutan di negeri ini, sekarang di Selangor mana ada hutan.
"Ada hutan semua nak dibangunkan, jadi kita kena faham betapa penting hutan kepada ekosistem. Selangor dengan air tiada, tidak cukup hutan untuk serap air, itu semua kena faham sebab itu hutan penting sepatutnya kita perlu simpan 50 peratus di Malaysia.
"Bukan kata kami ni anti pembangunan, tidak begitu, tetapi cara kerajaan buat sekarang menakutkan," katanya lagi.
Terdahulu, gabungan NGO itu menyampaikan memorandum kepada wakil Pejabat Menteri Besar di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor pada Jumaat.