Gabungan magik, budaya dan cita rasa tempatan dalam MAHA 2024

Amzar Alif
September 20, 2024 22:54 MYT
Persembahan istimewa Magical Night dan pertunjukan air 3D kini menjadi tarikan utama baharu di MAHA 2024- Gambar BPSP
SERDANG: Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2024 kembali dengan lebih banyak keunikan tahun ini bersempena ulang tahun ke-100 penganjurannya.
Antara elemen terbaru ditampilkan tahun ini termasuk persembahan istimewa Magical Night dan pertunjukan air 3D yang mengetengahkan teknologi terkini dalam menyampaikan pengetahuan mengenai kekayaan budaya dan hasil pertanian negara.
Menurut Pengarah Bahagian Pengairan dan Saliran Pertanian, Ir. Yuslina Mohd Sani, pertunjukan Magical Night dan air 3D yang diadakan setiap malam, kini sudah menjadi salah satu tarikan utama pameran tahun ini.
"Pertunjukan ini sangat unik kerana ia menggabungkan teknologi pancaran laser terkini dengan pancutan air yang menarik semua peringkat umur. Pengunjung mula memenuhi ruang pertunjukan lebih awal kerana mereka teruja dengan persembahan ini," ujarnya.
Beliau juga menambah bahawa pertunjukan itu merupakan yang pertama diadakan sempena ulang tahun ke-100 MAHA.
"Ini adalah pertama kali kami memperkenalkan persembahan seperti ini, dan saya percaya ia akan menjadi pengalaman yang memukau bagi semua yang hadir.
Selain itu, Pavilion Negeri yang menjadi tumpuan setiap tahun turut menawarkan pelbagai elemen menarik dengan setiap negeri mempamerkan keunikan budaya tersendiri, termasuk makanan, kraf tangan, dan hasil pertanian.
Kerjasama erat dengan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) membolehkan pengunjung menikmati pelbagai produk tempatan yang disediakan oleh usahawan dari 14 negeri.
Beliau juga menggalakkan pengunjung untuk tidak melepaskan peluang menikmati makanan tempatan yang disediakan di Pavilion Negeri.
"Di Pavilion Pahang, pengunjung boleh merasai durian Musang King, Black Thorn, serta menikmati keenakan ikan patin masak tempoyak dan sambal hitam yang disediakan.
"Kami ingin memastikan bahawa setiap pavilion membawa rasa dan budaya tersendiri yang mencerminkan keunikan setiap negeri,” jelasnya.
Pavilion dari negeri-negeri lain seperti Sarawak, Sabah, dan Kelantan juga menampilkan tarikan masing-masing.
"Di Sarawak, pengunjung boleh menikmati buah dabai, mee kolok, dan laksa Sarawak. Di Sabah, terdapat pelbagai masakan tempatan yang pasti menggembirakan selera ramai.
"Di Pavilion Terengganu, kita juga memperkenalkan anak penyu yang baru menetas untuk menarik perhatian kanak-kanak, selain produk seperti batik dan songket yang menjadi warisan budaya Terengganu,” tambahnya
MAHA 2024 yang berlangsung sehingga Ahad ini menawarkan kemasukan percuma kepada semua pengunjung, jadi jangan lepaskan peluang untu sama-sama memeriahkan acara ini.
#MAHA 2024 #Magical Night #3D Water Show #Pavilion Negeri
;