Gabungan firma-firma guaman dari lima negara setuju tubuh SIMBA Law Alliance

Bernama
Mac 13, 2023 00:38 MYT
Afiliasi firma guaman itu bertujuan membina jaringan undang-undang merentasi sempadan khususnya di Asia Pasifik, selain turut memberi ruang untuk penglibatan aktif firma guaman di peringkat antarabangsa. - Foto FB Shazril Khairy Haji Mustafa
KUALA LUMPUR: Beberapa firma guaman dari Singapura, Indonesia, Malaysia, Brunei dan Australia (SIMBA) hari ini memeterai persetujuan untuk membentuk sebuah afiliasi firma guaman yang dinamakan SIMBA Law Alliance.
Dalam persidangan yang dihadiri enam firma guaman di Kuala Lumpur hari ini, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Malaysia dipilih sebagai Pengerusi SIMBA Law Alliance manakala Ahmad Nizam Abbas (Singapura) dilantik sebagai timbalannya diikuti Azman Marsaleh sebagai Setiausaha Kehormat.
Zainul Rijal dalam satu kenyataan hari ini berkata afiliasi firma guaman itu bertujuan membina jaringan undang-undang merentasi sempadan khususnya di Asia Pasifik, selain turut memberi ruang untuk penglibatan aktif firma guaman di peringkat antarabangsa.
Menurut Zainul Rijal kolaborasi melibatkan lima negara itu juga bagi meningkatkan perkhidmatan undang-undang merentasi sempadan dan kepakaran di rantau terlibat, berkongsi pengetahuan dan amalan terbaik dalam kalangan firma, selain turut memudahkan peluang perniagaan dan pelaburan.
"SIMBA Law Alliance juga berperanan dalam menggalakkan dan menegakkan mutu etika dan kelakuan profesional yang tinggi dalam kalangan gabungan serta meningkatkan kredibiliti firma-firma terlibat di dalam negara masing-masing termasuk di peringkat global," katanya.
Katanya, SIMBA Law Alliance bukan hanya memberi manfaat kepada firma anggota tetapi juga kepada pelanggan di setiap negara anggota.
"Anggota SIMBA Law Alliance juga pada hari ini bersetuju mengadakan persidangan tahunan anggota yang akan diadakan dalam masa terdekat. Wacana peningkatan ilmu dan latihan juga akan diadakan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan profesionalisme anggota.
Pihak kami turut mengalu-alukan firma guaman untuk menyertai gabungan ini dengan menghubungi En Azman menerusi emel simbalawalliance@gmail.com," katanya.
-- BERNAMA
#pelaburan #Simba #firma guaman #afiliasi
;