Gabung universiti sentiasa bawa impak positif - Naib Canselor UniMAP

Azyyati Ahmad
September 19, 2019 13:01 MYT
Penggabungan universiti sentiasa akan membuahkan hasil yang baik selain menghasilkan sinergi yang bagus. - Foto Astro AWANI
Penggabungan universiti sentiasa akan membuahkan hasil yang baik selain menghasilkan sinergi yang bagus dan melonjakkan mutu institusi-institusi yang terlibat.
Menurut Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Profesor Ir R. Badlishah Ahmad, sebarang usaha bagi mengabungkan universiti tidak akan menghilangkan identiti, nama atau mengganggu visi universiti itu, malah akan melonjakkan ia ke arah yang lebih baik.
Katanya, ramai lebih mementingkan nama serta identiti universiti tanpa fikir kebaikan yang akan didapati dari usaha penggabungan itu.
"Bagi saya kita perlu lihat bahawa gabungan banyak beri impak positif, kadang-kadang kita terlalu sensitif dengan nama yang akan hilang serta identiti akan hilang.
“Saya kecewa beberapa dakwaan di dalam Facebook yang mengatakan penggabungan ini akan menyebabkan ramai dibuang kerja, yang akan dibuang mungkin pengurusan tertinggi, seperti Naib Canselor yang dulunya ada dua selepas itu mungkin tinggal satu,” katanya dalam program AWANI Pagi di sini, pada Khamis.
Badlishah hadir ke AWANI Pagi dalam membicarakan mengenai kejayaan UniMAP yang tersenarai antara sembilan buah universiti awam dalam negara yang menerima penarafan dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings 2020.
Terdahulu, Khamis lalu, lebih 1,000 pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berhimpun untuk menyatakan bantahan terhadap cadangan penggabungan universiti itu dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza).
Jemaah menteri pada 4 September lalu bersetuju secara prinsip dengan cadangan penggabungan UMT dan Unisza.
#gabung universiti #identiti #impak positif #Naib Canselor #nama #Penggabungan universiti #R Badlishah Ahmad #sensitif #sinergi #UniMAP #Universiti Malaysia Perlis #universiti malaysia terengganu #Universiti Sultan Zainal Abidin
;