Gabung 'soft' dan 'hard policy' untuk didik masyarakat tentang pemakanan sihat - Pakar

Pia Ernadya
April 26, 2024 17:16 MYT
NORHASMAH: Pendidikan masyarakat, advokasi kepada masyarakat, dengan hard policy dan peraturan serta penguatkuasaan perlu digabungkan, dan dengan cara ini, kita dapat kesan pendidikan itu berlaku. -Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya untuk kerajaan menggabungkan pendekatan soft policy dan hard policy untuk mendidik masyarakat tentang gaya hidup dan pemakanan yang lebih sihat.
Menurut Ketua Jabatan Pemakanan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Norhasmah Sulaiman, walaupun pendekatan soft policy ini sudah pun dilaksanakan lebih 30 tahun, namun Malaysia masih lagi menduduki carta obesiti paling tinggi di Asia Tenggara dan ini menunjukkan bahawa masih ada kelompongan dari segi pelaksanaan.
"Sebenarnya usaha pendidikan pemakanan, mengajar bagaimana kuantiti makanan (seperti) bila kita perlu makan, banyak mana kita perlu makan, sebenarnya benda ni kita dah laksanakan lama dah... ini kita namakan sebagai soft policy.
"Bagi saya, sekarang adalah waktu yang sesuai untuk kita gabungkan soft policy dengan hard policy.
"Hard policy ini maksudnya seperti mengadakan laporan, akta. Kedai tutup 10 malam ataupun 24 jam tutup sampai pukul 12 malam. Itu adalah hard policy, ia perlu ada penguatkuasaan," katanya ketika diwawancara dalam program AWANI Pagi pada Jumaat.
"Pendidikan masyarakat, advokasi kepada masyarakat dengan hard policy dan peraturan serta penguatkuasaan perlu digabungkan, dan dengan cara ini, kita dapat kesan pendidikan itu berlaku," kata beliau.
Norhasmah dalam pada itu juga tidak menafikan bahawa kos sara hidup yang tinggi menjadi faktor kenapa masyarakat lebih memilih makanan kurang sihat kerana harganya yang lebih murah.
Ujarnya, gaji RM1,500 tidak mencukupi untuk menampung satu keluarga kerana pelbagai faktor seperti keadaan anak-anak yang bersekolah dan keperluan makanan yang meningkat.
"Memang ada sesetengah makanan sihat ini mahal. Contohnya ayam, daging, ikan... satu kilogram harga RM20... nak bagi makan satu keluarga sampai tujuh orang, memang tak cukup.
"Jadi untuk melihat perkara ini, pihak berwajib perlu melihat dari segi kenaikan gaji sebab kos sara hidup memang sangat ketara peningkatannya," katanya lagi.
#Peningkatan kos sara hidup #Norhasmah Sulaiman #soft policy dan hard policy #Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
;