Gabung mohon cuti mingguan pada Jumaat, Sabtu dikekalkan di Johor

Aiman Hakeem Awazmin
Ogos 25, 2022 19:08 MYT
Zaini berkata cuti mingguan pada Jumaat dan Sabtu turut melambangkan penghormatan buat hari Jumaat sebagai penghulu segala hari dan pengiktirafan agama Islam sebagai agama rasmi negeri. - Foto Astro AWANI
JOHOR BAHRU: Majlis Penyelaras Gabungan NGO Melayu Negeri Johor (Gabung) memohon agar cuti mingguan pada Jumaat dan Sabtu terus dikekalkan di negeri itu dan tidak ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad.
Bagaimanapun, Presidennya, Zaini Atan berkata, ianya terserah kepada kebijaksanaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam menilai perkara itu dan pihaknya akan akur terhadap sebarang keputusan yang dibuat.
Katanya, cuti mingguan pada Jumaat dan Sabtu turut melambangkan penghormatan buat hari Jumaat sebagai penghulu segala hari dan pengiktirafan agama Islam sebagai agama rasmi negeri.
"Kami berpandangan cuti mingguan pada Jumaat dan Sabtu yang dikuatkuasakan pada ketika ini memberikan kemakmuran buat penduduk Johor khususnya yang beragama Islam.
"Cuti pada hari Jumaat, umumnya, memudahkan umat Islam menunaikan ibadah solat Jumaat dan wajar dikekalkan.
"Manakala jika cuti pada Sabtu dan Ahad, umat Islam akan terkejar-kejar terutama bagi kakitangan kerajaan yang bekerja separuh hari pada Jumaat.
"Selain itu, cuti pada Jumaat dan Sabtu dilihat memberikan manfaat terhadap ekonomi negeri. Contohnya orang tempatan akan berbelanja pada Jumaat dan Sabtu manakala orang Singapura pula berbelanja pada Ahad. Maka, terdapat tiga hari dimana sektor perniagaan di Johor bergiat aktif.
"Ini sekali gus dapat mengelakkan kesesakan kerana orang Johor tidak bertembung dengan orang Singapura yang datang berbelanja di sini pada hari Ahad," katanya dalam sidang akhbar di Taman Melodies, di sini pada Khamis.
Zaini berkata, cadangan pihak Gabung supaya kerajaan mengekalkan cuti mingguan itu tidak dipengaruhi mana-mana pihak atau parti politik.
Dalam pada itu, jelasnya, bagi menyelaraskan cuti hujung mingguan yang dilaksanakan ketika ini, pihaknya mencadangkan supaya pihak swasta mengikut langkah kerajaan yang bercuti pada Jumaat dan Sabtu.
Meskipun demikian, lebih 100 badan bukan kerajaan yang bernaung di bawah Gabung dengan keahlian lebih 200,000 di seluruh negeri itu akan akur dengan sebarang keputusan Sultan Ibrahim dalam menentukan sama ada cuti mingguan itu akan dikekalkan atau ditukar semula.
Beliau berharap, keputusan Sultan Ibrahim itu nanti tidak akan dipertikaikan mana-mana pihak dan semua perlu taat serta akur.
Pada 23 November 2013, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-55, dilaporkan menitahkan cuti hujung minggu negeri Johor ditukar kepada Jumaat dan Sabtu.
Baginda bertitah, pertukaran itu berkuatkuasa 1 Januari 2014 bagi memudahkan rakyat negeri ini beribadat dengan tenang.
Manakala pada Selasa lalu, Sultan Ibrahim bertitah bahawa baginda tidak akan tergesa-gesa dalam membuat keputusan tentang cadangan kerajaan negeri untuk menukar semula cuti hari minggu negeri itu kepada Sabtu dan Ahad.
#gabung #cuti hujung minggu #hari jumaat #Sultan Johor
;