Gabem setuju DEB dikaji

Bernama
Julai 25, 2018 04:36 MYT
Tan Sri Dr Rahim Tamby Chik berkata, kajian berkenaan haruslah dengan bertujuan mewujudkan satu dasar ekonomi baharu yang dapat mengubah pemikiran peniaga khususnya Melayu. - Gambar fail
Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) bersetuju dengan langkah kerajaan Pakatan Harapan untuk mengkaji semula Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan digantikan dengan dasar yang lebih efektif dan bersih.
Pengerusinya Tan Sri Dr Rahim Tamby Chik berkata, kajian berkenaan haruslah bertujuan mewujudkan satu dasar ekonomi baharu yang dapat mengubah pemikiran peniaga khususnya Melayu.
"Kita perlu ada sebuah kerajaan yang bersih, baru kita boleh menghantar mesej dan mendapat hasil yang positif daripada masyarakat dan usahawan Melayu," beliau berkata kepada media selepas taklimat mengenai Pesta Halal Sarajevo pada Rabu.
Jika sebelum ini, DEB hanya mementingkan pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI) berdasarkan bajet yang telah disediakan kerajaan bagi membantu golongan peniaga.
"Dulu kita sibuk dengan KPI, kita ada bajet RM100 juta dan bila RM100 juta dah habis, kita fikir ia sudah selesai... kadangkala timbul masalah kronisme, penyelewengan dan sebagainya. Oleh yang demikian melalui dasar yang baharu ini, ia boleh dibanteras," katanya.
Beliau turut mencadangkan agar dasar yang bakal dibentuk mampu mengubah corak berfikir di kalangan peniaga Melayu dan bukan sekadar memberikan pinjaman mikro dan menyediakan kemudahan untuk berniaga.
"Mereka perlu ada cara berfikir yang betul... tidak cemburu, sakit hati atau dengki apabila melihat orang lain berjaya. Ini akan menjadikan mereka lebih profesional," katanya.
Semalam, kerajaan dilaporkan bakal meneliti semula dasar-dasar utama negara termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Model Ekonomi Baru (NEM) bagi melihat sama ada dasar itu masih relevan.
Menurut Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, ia juga selaras dengan aspirasi Malaysia baharu dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara mampan serta dapat menjamin pengagihan yang adil.
-- BERNAMA
#Dasar Ekonomi Baru #DEB #ekonomi #Gabem #Gagasan Badan Ekonomi Melayu #kerajaan #KPI #Malaysia #Melayu #Pakatan Harapan #usahawan
;