Fuziah Salleh lapor polis dakwa nombor telefon digodam
Bernama
Oktober 1, 2017 14:16 MYT
Oktober 1, 2017 14:16 MYT
Anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh hari ini membuat laporan polis mendakwa nombor telefonnya telah digodam dan disalah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur hasutan kepada individu tidak dikenali.
Katanya akibat daripada perbuatan tidak bertanggungjawab itu beliau menerima puluhan panggilan telefon serta SMS daripada nombor-nombor yang tidak dikenali sejak 7 malam semalam, memarahinya kerana menghantar SMS berbaur hasutan kepada mereka.
"Pada awalnya, saya membalas SMS yang diterima dan meminta maaf selain meminta mereka menghantar semula SMS yang kononnya daripada saya. Saya sendiri terkejut dengan apa yang dibaca.
"Saya tidak pernah menggunakan ayat yang ditulis kerana sememangnya itu bukan cara saya selain semua nombor itu juga tiada dalam simpanan saya," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini.
Wakil rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat itu mendakwa kejadian serupa pernah dialaminya pada Pilihan Raya Kecil Kajang pada 2014, dan berharap pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dapat menjalankan siasatan supaya ia tidak berulang.
"Kejadian ini boleh menjejaskan karier politik saya.
"Menghantar SMS mengutuk bukan cara saya, tetapi hanya dilakukan mereka yang cetek pemikiran dan saya harap mereka yang menerima SMS itu tidak terpengaruh dengan apa yang dibaca," katanya, menambah 'orang politik' lazimnya tidak akan menggunakan nombor telefon peribadi untuk menghantar SMS sedemikian .
-- BERNAMA
#ahli Parlimen
#Fuziah Salleh
#godam
#hasutan
#Kuantan
#laporan polis
#nombor telefon
#pilihan raya kecil
#siasatan
#SMS