Fungsi masjid perlu diperkasa - Pemangku Raja Perlis

Bernama
Mei 11, 2023 21:15 MYT
Pada Majlis Perasmian Masjid Al-Amin, Sempering, malam tadi, Tuanku Syed Faizzuddin bertitah, jawatankuasa kariah dan agensi agama perlu memastikan majlis ilmu diatur di masjid mencakupi bidang-bidang penting. - Foto BERNAMA
KANGAR: Fungsi masjid perlu diperkasa khususnya dari aspek pengimarahan agar mampu membangunkan ummah, titah Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda bertitah masjid memainkan peranan yang sangat penting sebagai entiti penyatuan umat.
"Jawatankuasa kariah dan para pegawai masjid yang terdiri daripada imam, bilal, siak dan penjaga kawasan mestilah komited dengan tugasan serta tanggungjawab yang diamanahkan, bersikap mesra dengan anak kariah dan berusaha menyelesaikan masalah yang dibangkitkan dan bersikap pendamai," titah baginda pada Majlis Perasmian Masjid Al-Amin, Sempering, malam tadi.
Turut hadir Menteri Besar Mohd Shukri Ramli, Mufti Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Exco Agama Muhammad Azmir Azizan dan barisan exco lain.
Tuanku Syed Faizzuddin bertitah masjid merupakan pusat perkembangan ilmu dan pemikiran, oleh itu jawatankuasa kariah dan agensi agama perlu memastikan majlis ilmu diatur mencakupi bidang-bidang penting dalam agama dan juga pengetahuan am.
"Masjid juga hendaklah bertindak sebagai lokasi sehenti yang mesra musafir, pengembara, orang kurang upaya, ibu tunggal, kanak-kanak, orang tua dan lain-lain golongan yang memerlukan.
"Selain itu (masjid) juga menjadi tempat berteduh apabila bencana alam seperti ribut dan banjir," titah baginda.
Baginda bertitah semua pihak hendaklah mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh agensi agama negeri bagi memastikan keseragaman dan penyelarasan yang teratur, terutama berhubung pengimarahan masjid dan surau.
"Perlu juga diingatkan supaya pihak jawatankuasa masjid hendaklah sentiasa memastikan setiap penceramah, pengkuliah dan tenaga-tenaga pengajar di masjid adalah pemegang tauliah di negeri Perlis," titah baginda.
Pemangku Raja Perlis itu bertitah ini bagi memastikan kualiti dan mutu pengisian di masjid dan surau di negeri ini kekal berada pada standardnya yang tersendiri, serta jauh daripada anasir-anasir luar yang meragukan dan cuba untuk menyemai bibit-bibit perpecahan dalam kalangan masyarakat di sini.
-- BERNAMA
#Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail #masjid #penyatuan umat #majlis ilmu