Fungsi JAKIM disemak semula - PM
Astro Awani
Mei 30, 2018 18:39 MYT
Mei 30, 2018 18:39 MYT
Satu kumpulan akan ditubuhkan bagi membincangkan peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di negara ini.
Perbincangan itu akan mengkaji dan menyemak semula fungsi JAKIM supaya Islam tidak dipandang negatif.
“Kita belum ada fikiran mengenai Jakim. Kita akan ada satu kumpulan dari ulama-ulama dan orang berpengetahuan dalam agama dan yang pengetahuan untuk bincang peranan Jakim dalam negara, sama ada JAKIM akan dikekalkan seperti sekarang atau tujuan-tujuan asalnya akan dihidupkan semula,” kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu sidang media selepas beliau mempengerusikan mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.
"Kita akan menentukan supaya di negara ini, Islam tidak digambarkan sebagai agama yang zalim, keras dan tidak bertimbang rasa, itu bukannya agama Islam," katanya.
“Ia (agama Islam) tidak begitu dan banyak larangan-larangan yang diadakan dalam Islam tidak diamalkan, sebaliknya kita fikir cara-cara lain yang tidak datang dari Islam untuk kononnya menunjukkan Islam ini agama yang keras dalam pelaksanaannya,” tambahnya.
“Dalam kata lain, kita lebih suka memaksa daripada ajaran Al-Quran yang kata tidak ada paksaan dalam agama Islam,” tambahnya.
Pentadbiran institusi agama di Malaysia pernah disentuh beberapa tokoh antaranya pakar undang-undang, Profesor Datuk Shad Saleem Faruqi.
“Saya minta maaf untuk menyatakan, banyak jutaan, dalam beberapa kes berbilion-bilion, ringgit yang mereka belanjakan tidak dikenakan audit yang mencukupi,” kata Shad Faruqi dalam satu program wawancara di Saluran Astro AWANI, baru-baru ini.
“Saya tidak tahu bagaimana jika Ketua Audit Negara menyemak akaun mereka atau tidak. Saya membaca laporan Ketua Audit Negara setiap tahun, saya tidak mendapati pengawasan yang mencukupi perbelanjaan dan akhir sekali, penglibatan agensi syariah dengan aktif menukar bukan Islam ke dalam Islam dengan menggunakan wang pembayar cukai. Itu dipersoalkan,” kata Shad Faruqi.
Penasihat Umum Parti Amanah Negara, Ahmad Awang pula berpendapat, kuasa agama perlu dikembalikan kepada Majlis Raja-Raja untuk membuat keputusan di peringkat Persekutuan.
“Apa yang kita lihat, bila kita kembalikan kuasa agama kepada Raja-Raja, bermakna segala apa dilaksanakan diperingkat pusat dengan perkenan Majlis Raja-Raja, itu yang sebenarnya.
“Itu apa yang dicabuli oleh Perdana Menteri sebelum ini, sehingga Raja risau dengan kehebatan memerintah agama, kerajaan baharu memerintah ia tak ikut dahulu.
#Ahmad Awang
#Astro Awani
#cukai
#Islam
#JAKIM
#kabinet
#kerajaan
#Mahathir Mohamad
#Majlis Raja-Raja
#Parti Amanah Negara
#Perdana Menteri
#Shad Faruqi
#syariah