Fu Wa dengar arahan, Feng Yi lebih suka relaks

Tan Su Lin
Mei 22, 2014 14:54 MYT
Fu Wa, Feng Yi mula sesuaikan diri di "rumah" baru
Biarpun kelihatan sedikit lesu selepas menaiki penerbangan 4 jam dari Chengdu ke Malaysia, pasangan panda gergasi, Fu Wa dan Feng Yi mula menyesuaikan diri di penempatan baru mereka di Zoo Negara.
Selepas menempuh penerbangan jarak jauh, dan perjalanan dari MasKargo, Sepang ke Zoo Negara, kedua-dua beruang itu dijangka kembali aktif selepas berehat secukupnya.
Menurut Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly Rahmat Ahmat Lana, kebiasaannya haiwan itu dijangka mengambil masa 24 jam untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baru.
"Apabila masuk kuarantin tadi dibuka dan kita lihat dia agak lemah sedikit tapi tidak lama beberapa minit kemudian dia gembira dan gerak aktif yang jantan Fu Wa dia kurang aktif daripada Feng Yi. Kebiasaanya Fu Wa lebih aktif biasa biasa dia suka buluh tapi hari ini dia suka rebung. Jadi dia nampak rebung dia nampak gembira makan." kata Rosly.
Fu Wa dan Feng Yi yang dipinjamkan ke Malaysia merupakan haiwan berprofil tinggi yang pernah dipilih sebagai salah satu ikon Sukan Olimpik Beijing pada 2008 dan merupakan pengembara berpengalaman yang pernah mendiami beberapa zoo dan pusat-pusat pemuliharaan panda di seluruh China.
Dilahirkan pada hari dan tahun yang sama, kedua Fu Wa dan Feng Yi membesar di pusat pemuliharaan panda di Wolong, Sichuan, China.
Menurut Penyelia Kanan Zoo Negara, Ahmad Nazim Zainudin, panda jantan, Fu Wa yang bermaksud 'Anak Patung Bertuah' lebih ceria dan aktif manakala panda betina, Feng Yi atau maksud namanya 'Burung Jentayu Yang Cantik' lebih suka bersantai.
"Untuk Fu Wa yang jantan perwatakan dia boleh mendengar arahan kita dia mudah faham kita dia dengar arahan cepat dia agak mesra dengan penjaganya. Feng Yi dia bukan tidak dengar arahan dia boleh dengar tetapi dia macam 'slow' sikit dan dia lebih suka relaks." kata Nizam yang merupakan antara anggota pasukan Zoo Negara terlatih yang akan menguruskan keperluan harian kedua panda itu.
Tambahnya walaupun kelihatan sama tetapi sebenarnya Fu Wa dan Feng Yi mempunyai perbezaan yang ketara.
"Untuk Fu Wa panda jantan perbezaan dia nampak pada muka dia iaitu Fu Wa mempunyai tompok mata berbentuk nombor lapan dan dahi dia agak lebar dan bulat. Feng Yi pulak dia punya hidung kecil dan memanjang." jelas Ahmad Nazim.
Penganalisis melihat kedatangan pasangan panda Fu Wa dan Feng Yi membuktikan hubungan akrab antara Malaysia-China tidak terjejas susulan kehilangan pesawat MH370.
Malah, kehadiran panda yang dipinjamkan kepada malaysia untuk tempoh 10 tahun itu menandakan fasa baharu hubungan persahabatan yang terjalin sejak 1974.
Ini kerana menurut Pensyarah Kanan Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Suffian Mansor, panda disifatkan sebagai simbol penting persahabatan dan ia hanya boleh dijumpai di China.
Hanya negara yang dianggap sahabat dipinjamkan haiwan yang cukup istimewa itu sebagai simbolik keakraban kedua negara.
"Apabila panda ini dihantar ke Malaysia ini sebeanrnya satu simbol bahawa hubungan kerajaan itu tidak pernah jejas sama sekali di mana isu MH370 bukanlah isu sejarah hitam dan hubungan itu terus berjalan dalam hal ini." katanya apabila dihubungi Astro AWANI.
Peminjaman panda gergasi kepada zoo luar negara oleh China diamalkan sejak 1970-an dan ia menandakan pertukaran budaya antara China dengan negara-negara yang mempunyai jalinan diplomatik.
Simbolik persahabatan antara China dan Malaysia itu juga dijangka mampu memberikan sokongan kepada Zoo Negara sekaligus menarik lebih kurang sejuta pengunjung ke zoo berkenaan.
"Harapan untuk mendapat lebih pulangan dapat ramai pelancong hadir ke Zoo Negara dan orang luar negara akan berkunjung ke sini dan menambah kita punya pendapatan. dari segi pelajaran kita akan ada pusat pembelajaran untuk panda ini terutamanya untuk kanak-kanak sekolah." kata Rosly.
Kerajaan dianggarkan membelanja kira-kira RM70 juta termasuk untuk pembinaan Kompleks Panda Gergasi di Zoo Negara yang berjumlah RM25 juta, RM30 juta untuk tempoh sewaan selama 10 tahun dan RM15 juta untuk kos penyelenggaraan.
Dalam pada itu, pihak Zoo Negara bersiap sedia sekiranya kedua haiwan itu membiak dan melahirkan anak panda.
"Kalau panda mendapat anak panda pihak kami amat bersedia dan kami telah menghantar kakitangan kami ke luar negara seperti Chengdu untuk membuat latihan sempurna dengan anak-anak panda juga." tambah beliau.
Rosly juga memberi jaminan pihak zoo tidak akan menaikkan harga tiket masuk kerana yakin Fu Wa dan Feng Yi akan dapat menjana pulangan yang banyak daripada kemasukan jumlah pelancong yang ramai yang ingin melihat pasangan panda itu.
Bagaimanapun orang awam yang ingin melihat haiwan itu di ruangan pameran di Kompleks Panda Gergasi di Zoo Negara perlu membayar tiket khas pada harga RM20 untuk dewasa dan RM10 bagi kanak-kanak.
Ketika ini, Fu Wa dan Feng Yi dikuarantin selama 30 hari sebelum orang awam boleh melihatnya bulan depan.
Pasangan panda itu bakal mendapat nama baharu apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual melawat kedua beruang berkenaan pada 25 Mei ini.
Nama baharu pasangan panda telah dibincangkan antara Najib dan Duta Besar China Di Malaysia Dr Huang Huikang.
Ia akan diumumkan apabila pasangan panda itu dipertontonkan kepada umum pada Jun nanti.
#China #Feng Yi #Fu Wa #Malaysia #panda gergasi
;