Fu Ah Kiow letak jawatan sebagai Pengerusi, Pengarah Star Media

Bernama
Mac 1, 2021 16:30 MYT
Fu dilantik sebagai pengarah bebas bukan eksekutif Star Media pada 27 Feb, 2014 dan sebagai pengerusi lembaga pengarah sejak 21 Mei, 2014. - Bernama
KUALA LUMPUR: Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Star Media Group Bhd, Datuk Fu Ah Kiow meletakkan jawatan sebagai pengarah dan pengerusi lembaga pengarah syarikat itu berkuat kuat hari ini.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Isnin, Star Media menjelaskan Fu telah mengemukakan surat peletakan jawatan semasa mesyuarat lembaga pengarah pada 25 Feb lepas.
Menurut syarikat itu Fu turut melepaskan peranannya sebagai pengerusi Yayasan Star, cabang kebajikan Star Media Group.
"Fu mengatakan sudah sampai masanya untuk memberi laluan kepada kepimpinan baharu, selain beliau mahu meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga," menurut syarikat tersebut.
Susulan peletakan jawatan oleh Fu, Star Media menjelaskan lembaga pengarah akan melaksanakan usaha yang diperlukan untuk mengenal pasti calon yang sesuai bagi mengisi kekosongan berkenaan secepat mungkin.
Fu dilantik sebagai pengarah bebas bukan eksekutif Star Media pada 27 Feb, 2014 dan sebagai pengerusi lembaga pengarah sejak 21 Mei, 2014.
-- BERNAMA
#Star Media #Pengarah Star Media #Datuk Fu Ah Kiow #meletak jawatan #Bursa Malaysia #Yayasan Star
;