FRU turun padang, 'suraikan' lumpur banjir
Firdaus Azil
Disember 26, 2021 15:46 MYT
Disember 26, 2021 15:46 MYT
HULU LANGAT: Kehadiran mereka di tempat awam biasanya digeruni ramai.
Bersenjatakan belantan dan senapang peluru getah, termasuk jentera besar berwarna merah menyala, lazimnya tugasnya Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Polis Diraja Malaysia selalu dikaitkan dengan rusuhan dan tunjuk perasan.
Namun kali ini, FRU turun ke padang bukan untuk rusuhan, tapi untuk membantu mangsa banjir membersihkan tempat kediaman, premis perniagaan, serta rumah ibadah.
Timbalan Komandan FRU Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, ACP Rosman Kasman berkata, misi pasukannya kali ini berbeza dengan kelaziman.
"Kebiasaannya kalau ada rusuhan, kita akan jumpa kenderaan berwarna merah, di Dataran Merdeka sebagai contoh untuk suraikan rusuhan. Tetapi, susulan musibah banjir yang melanda negara pada masa ini, kenderaan merah ini ada di kawasan kampung, di kawasan bencana.
"Saya kerahkan anggota kita untuk membantu bersihkan rumah berkeadaan agak sedih sikit, dengan lumpur tebal, perabot rosak. Jadi kehadiran FRU di rumah-rumah mereka sedikit sebanyak menyenangkan,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini, hari ini.
[LAPOR LANGSUNG] Banjir: 'Kami cuba untuk bangkit' - Penduduk
Dengan kekuatan 120 anggota dan lima jentera dengan meriam air, Rosman berkata, mereka dipecahkan kepada beberapa sektor yang terjejas teruk dengan banjir, termasuk Taman Seri Nanding di sini.
Dalam pada itu, Ketua Perawat Pusat Rawatan Kecil Darussyifa' Cheras, Salleh Hassan berkata, dia terharu dengan kehadiran sukarelawan banjir, termasuk pasukan FRU.
"Saya amat terharu kerana pada hari ini, team FRU Cheras datang bersama lori meriam air, datang dalam 40 orang bantu bersihkan rumah. Saya amat terhutang budi kepada semua yang beri bantuan termasuk FRU ini,” katanya lagi.
Sementara itu, pengurus pusat berkenaan, Ab Rashid Ahmad pula berkata, hubungan erat antara masyarakat dan agensi penguatkuasa, seperti FRU akan terus kukuh.
"Saya bagi pihak tuan rumah ucap terima kasih syukur kepada Allah dengan peristiwa ini merapatkan hubungan antara orang awam dan polis. Di mana polis telah berlapang dada dan bermurah hati untuk turun bersama-sama membantu kami,” katanya lagi.