FRIM kenal pasti herba bantu rawatan kanser
Bernama
Oktober 12, 2016 09:13 MYT
Oktober 12, 2016 09:13 MYT
Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menemukan herba-herba yang mampu merawat penyakit kanser dalam kajian yang dilakukannya sejak dua tahun lepas.
Ketua Pengarahnya Datuk Dr Abd Latif Mohmod berkata walaupun kajian itu belum dimuktamadkan, dapatan awal mendapati sel-sel kanser mampu diubati dengan penggunaan gabungan herba tertentu.
"Jika tiada kekangan, hasil kajian ini akan dibentangkan pada Jun tahun depan," katanya kepada pemberita selepas perasmian Seminar Tumbuhan Ubatan dan Beraroma ke-14 (MAPS14) di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di sini, pada Selasa.
Seminar itu dirasmikan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Hamim Samuri.
Tanpa mengulas lanjut mengenai herba berkenaan, Abd Latif berkata gabungan herba itu mampu merangsang sistem aliran darah dan mengurangkan kadar kolestrol.
"Ia juga menurunkan tekanan gula dalam darah selain merencatkan sel-sel kanser di bahagian organ-organ dalam badan," katanya. - BERNAMA