Freedom Flotilla to Gaza: Pendaftaran kapal misi di negara lain mungkin memakan masa
Syafik Shukri Jalil
April 25, 2024 07:00 MYT
April 25, 2024 07:00 MYT
ISTANBUL: Proses pendaftaran baharu bagi sesebuah kapal di negara lain mungkin akan memakan lebih banyak masa.
Demikian kata Profesor Hubungan Antarabangsa di Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Mohd Afandi Salleh.
“Untuk daftar (kapal) yang baharu memang mengambil masa dan saya tidak pasti adakah (Freedom Flotilia Coallation - FFC) nak beli ataupun nak daftar di negara yang kecil seperti Panama atau Liberia.
“Kita tengok negara-negara yang (kecil) di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)… negara-negara yang kecil mungkin takut (kepada Israel) dan kalau tengok di PBB yang menyokong Israel hari ini negara-negara yang kita tak tak kenal namanya.
“Ini salah satu cara yang dibuat oleh Israel dan juga sekutunya untuk melengahkan ataupun untuk membatalkan pelayaran kemanusiaan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan FFC pada lewat Khamis yang sekali lagi mengumumkan penangguhan misi pelayaran Break The Siege Freedom Flotilla to Gaza yang sepatutnya memulakan pelayaran pada hari ini (Jumaat).
Menerusi kenyataannya, FFC mendakwa, rejim Zionis sedang memberi tekanan hebat kepada Republik Guinea Bissau untuk menarik balik benderanya daripada kapal utama yang digunakan dalam misi ini, Akdeniz (Mediterranean).
Berhubung tekanan tersebut, FFC berkata, kerajaan Republik Guinea Bissau pula bertindak mengarahkan agar satu pemeriksaan menyeluruh terhadap kapal penumpang tersebut dijalankan.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan tiga buah kapal terlibat dalam misi ini melibatkan satu kapal kargo 5,000 tan dan dua buah kapal penumpang yang boleh memuatkan lebih 1,000 orang.
Kapal-kapal ini akan membawa bantuan kemanusiaan yang mendesak seperti bantuan perubatan, pek makanan, pakaian, khemah perlindungan dan beberapa buah kenderaan termasuk lapan buah ambulans.