Freedom Flotilla to Gaza: Pelayaran sekali lagi ditangguh, Israel didakwa terus cetus kekacauan - FFC
Syafik Shukri Jalil
April 25, 2024 06:30 MYT
April 25, 2024 06:30 MYT
ISTANBUL: Misi pelayaran Break The Siege Freedom Flotilla to Gaza sekali lagi ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.
Freedom Flotilla Coalition (FFC) dalam kenyataannya mengumumkan, penangguhan ini berlaku disebabkan tercetus kekacauan daripada rejim Israel yang terus-menerus mahu menghalang pergerakan kapal-kapal terlibat dalam misi ini.
Dakwa FFC, rejim Zionis sedang memberi tekanan hebat kepada Republik Guinea Bissau untuk menarik balik benderanya daripada kapal utama yang digunakan dalam misi ini, Akdeniz.
“Hari ini kami menerima maklumat mengenai halangan terbaharu oleh Israel dalam cubaan untuk menghalang keberangkatan kami.
“Israel sedang menekan Republik Guinea Bissau untuk menarik balik benderanya dari kapal utama kami, Aldeniz (Mediterranean) yang merupakan kapal penumpang yang terlibat dalam misi ini,” kata kenyataan itu.
Sekiranya Republik Guinea Bissau akur, maka kapal penumpang Akdeniz tidak boleh memulakan pelayaran kerana mengikut undang-undang, setiap kapal yang memasuki perairan antarabangsa perlu mengibarkan bendera negara sesuatu kapal yang didaftarkan sepanjang pelayaran.
Berhubung tekanan tersebut, FFC berkata, kerajaan Republik Guinea Bissau pula bertindak mengarahkan agar satu pemeriksaan menyeluruh terhadap kapal penumpang tersebut dijalankan.
“Ini mencetuskan permintaan untuk pemeriksaan tambahan, kali ini oleh Republik Guinea Bissau yang menyebabkan berlaku penangguhan keberangkatan kami yang dirancang pada 26 April.
“Ini merupakan contoh lain halangan diberikan oleh Israel terhadap penghantaran bantuan kemanusiaan kepada penduduk di Gaza yang disengajakan,” tambah kenyataan itu lagi.
Kenyataan sama menambah, ini bukan kali pertama pihak rejim Zionis cuba menghalang pergerakan misi kemanusiaan.
Malah sudah berlaku beberapa kekacauan sebelum ini namun ia dapat diatasi sebaiknya oleh pihak FFC.
“Ini bukan kali pertama Israel menggunakan taktik seperti ini untuk menghalang kapal kami belayar. Kami telah berjaya mengatasinya sebelum ini dan sedang bekerja keras untuk mengatasi cubaan terbaharu ini.
“Kapal kami telah lulus semua pemeriksaan yang diperlukan dan kami yakin Akdeniz akan lulus pemeriksaan ini asalkan tidak ada campur tangan politik.
“Untuk itu, kami menjangkakan perkara ini akan dapat diatasi dalam tempoh beberapa hari mendatang dan mereka perlu tahu bahawa cubaan seperti ini tidak akan mematahkan tekad kami membantu penduduk di Gaza,” ujarnya.
Pada Khamis, FFC mengesahkan sudah melengkapkan segala keperluan bagi membolehkan misi pelayaran Break The Siege: Freedom Flotilla to Gaza yang dijadualkan pada hari ini dapat disempurnakan.
Menurut Jawatankuasa Pemandu FFC, Zohar Chamberlain-Regev, ia termasuk keperluan teknikal dan crewing yang merujuk kepada proses menyediakan dan menguruskan ahli kru yang diperlukan untuk suatu operasi atau aktiviti tertentu seperti mengendalikan kapal dan pesawat.
Ia juga melibatkan beberapa tugasan seperti merekrut, melatih dan mengawasi kakitangan yang terlibat dalam melaksanakan misi atau perjalanan.