Frasa 'Malaysia Madani' diguna dalam urusan penyediaan surat kerajaan

Bernama
Februari 16, 2023 09:20 MYT
Frasa 'Malaysia Madani' kini digunakan dalam urusan penyediaan surat kerajaan. - Foto FB Jabatan Perkhidmatan Awam
PUTRAJAYA: Frasa 'Malaysia Madani' kini digunakan dalam urusan penyediaan surat kerajaan.
Perkara berkenaan dimaklumkan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Datuk Dr Zulkapli Mohamed dalam satu surat edaran bertarikh 15 Feb 2023.
Surat tersebut adalah untuk perhatian semua ketua setiausaha kementerian, ketua jabatan persekutuan, setiausaha kerajaan negeri, ketua pengurusan pihak berkuasa berkanun persekutuan, ketua pengurusan pihak berkuasa berkanun negeri dan ketua pengurusan pihak berkuasa tempatan.
Frasa baharu 'MALAYSIA MADANI' itu ditambah sebelum frasa 'BERKHIDMAT UNTUK NEGARA' dalam semua surat rasmi kerajaan bagi menyebarluaskan agenda Malaysia Madani dan hala tuju baharu Kerajaan Perpaduan, katanya.
"Arahan ini berkuat kuasa serta merta," katanya.
-- BERNAMA
#Malaysia Madani #surat kerajaan #Jabatan Perkhidmatan Awam #Dr Zulkapli Mohamed