Fragmentasi hutan punca Harimau Malaya sukar membiak, di ambang kepupusan - RIMAU

Hafizi Rosli
September 22, 2021 12:36 MYT
Menurut Presiden Persatuan Pelindung Harimau Malaysia (RIMAU), Lara Ariffin, penerokaan hutan untuk tujuan pembangunan menyebabkan kelompok harimau ini sukar untuk membiak serta kehilangan habitat mereka. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Fragmentasi hutan atau pecahan kawasan hutan akibat penerokaan tanah dilihat menjadi salah satu punca ancaman kepupusan spesies Harimau Malaya di negara ini.
Menurut Presiden Persatuan Pelindung Harimau Malaysia (RIMAU), Lara Ariffin, penerokaan hutan untuk tujuan pembangunan ini menyebabkan harimau ini sukar untuk membiak serta kehilangan habitat mereka.
"Fragmentasi hutan ini keadaan seperti 'pulau hutan' dimana kawasan terpisah daripada hutan lain.
"Bila terpisah harimau akan mengalami masalah kekurangan genetik dan populasinya bakal berkurang, kerana ia akan menyebabkan haiwan ini hanya berinteraksi bersama sesama sendiri yang beri masalah pada masa hadapan," jelas Lara dalam program AWANI Pagi pada Rabu.
AWANI Pagi: Perjuangan Selamatkan Harimau Terakhir Malaysia | 22 Sept 2021
Susulan daripada isu fragmentasi ini juga akan menyebabkan berlaku konflik yang akan mengancam nyawa haiwan itu serta manusia.
"Satu lagi masalah fragmentasi hutan ini bakal berlaku konflik antara haiwan dan manusia dimana akan mengancam nyawa masing-masing," kata Harun Rahman, Ahli Jawatankuasa RIMAU.
Selain faktor penerokaan hutan, isu pemburuan haram juga menjadi punca ancaman kepupusan spesies ini.
Namun Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) banyak menggerakkan usaha untuk membanteras isu ini dengan meningkatkan penguatkuasaan.
Ia termasuk menjalankan kerjasama antara agensi penguatkuasaan serta komuniti setempat.
"Perhilitan gerakkan beberapa kerjasama termasuk bersama Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), veteran askar dan renjer hutan serta masyarakat orang asli.
"Ia termasuk usaha menangkap pemburu haram serta pemusnahan jerat di kawasan hutan," kata Penolong Pengarah Kanan Jabatan Perhilitan, Hazril Rafhan Abdul Halim.
Jelas Hazril, susulan tindakan itu, dilaporkan terdapat harimau yang mula menghuni habitat baharu setelah perangkap ini dimusnahkan.
Dalam pada itu, selain faktor penerokaan hutan, isu pemburuan haram juga menjadi punca ancaman kepupusan spesies ini.
Namun Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) banyak menggerakkan usaha untuk membanteras isu ini dengan meningkatkan penguatkuasaan.
Ia termasuk menjalankan kerjasama antara agensi penguatkuasaan serta komuniti setempat.
"Pada ketika ini kita sedang tingkatkan kapasiti Harimau Malaya melalui pembiakan dan cuba melepaskan harimau itu ke habitat asal. Perkara ini akan berlaku dalam tempoh masa yang panjang.
"Untuk melindungi makanan utama seperti rusa sambar dan kijang, Perhilitan juga sedang menjayakan pembiakan rusa sambar dan kijang tuk lepaskan kembali di habitat asal," kata Hazril lagi.
Menurutnya, populasi makanan utama harimau ini yang berkurang menjadi punca ia diambang kepupusan.
#harimau Malaya #Kepupusan #habitat #pembiakan
;