Forum 'Tetapan semula ekonomi' tumpu isu golongan miskin bandar

Astro Awani
Ogos 17, 2020 14:24 MYT
DIRA: Forum ini akan mengkaji dan berbincang mengenai apa sahaja aspek berkaitan kerisauan rakyat mengenai isu moratorium. - BERNAMA
Kerajaan harus melihat dan mengutamakan nasib golongan miskin bandar apabila tempoh moratorium bersasar berakhir kelak.
Moderator Forum 'Tetapan semula ekonomi', Dira Abu Zahar berkata, ia sekali gus akan menjadi mesej kepada Kementerian Kewangan untuk membantu selain menyelesaikan isu yang merisaukan rakyat.
"Kita tahu gangguan ekonomi yang teruk melanda dunia akibat pandemik COVID-19. Kerajaan juga sudah membuat pelbagai pakej rangsangan dan rakyat perlu tahu serta menggunakan bantuan ini untuk memastikan tiada yang tercicir dalam apa juga segi.
"Isu moratorium pasti menjadi kerisauan apabila ia berakhir kelak. Forum ini akan mengkaji dan berbincang mengenai apa sahaja aspek berkaitan kerisauan rakyat mengenai isu berkenaan.
"Hasilnya nanti akan kita bawa kepada pengetahuan Kementerian Kewangan untuk membuat pelan lebih inklusif kepada golongan sasar," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Forum 'Tetapan semula ekonomi' anjuran badan bukan kerajaan (NGO) O2 Malaysia itu akan diadakan malam ini di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Antara moderator forum termasuk Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan, Wakil Kelab Diskusi Ekonomi Rakyat Anas Abdul Jalil dan Pengurus Besar Farlosa Coemetics Hilmi Mohd Saat.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini berkata, kerajaan melanjutkan moratorium dan bantuan bank bersasar selama tiga bulan, khusus untuk golongan yang benar-benar memerlukan dan masih terjejas akibat penularan pandemik COVID-19.
Jekasnya, keutamaan pemberian lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar itu akan diberi kepada individu kehilangan pekerjaan dan mereka yang terjejas pendapatan akibat penularan pandemik COVID-19.
Sebelum ini juga, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, nilai moratorium yang diberi setakat 20 Julai mencecah RM59 bilion dan secara keseluruhannya, moratorium memberi manfaat kepada 7.7 juta rakyat yang merangkumi 93 peratus peminjam individu.
Beliau berkata, penangguhan pembayaran balik pinjaman atau pembiayaan yang berkuat kuasa pada 1 April itu sebahagian langkah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang bertujuan menguruskan kesan COVID-19.
Tujuan moratorium itu, yang menjadi matlamat ketiga PRIHATIN (memperkukuh ekonomi), adalah membantu meringankan beban rakyat dan perniagaan dalam tempoh enam bulan dan ia akan berakhir pada September 2020.
#bank #bantuan #COVID-19 #kerajaan #Moratorium #NGO #pandemik #PRIHATIN #sasaran #UMNO
;