Forum pelancongan Asean tumpu agenda serantau
Astro Awani
Disember 28, 2013 12:23 MYT
Disember 28, 2013 12:23 MYT
Lebih 50 acara mega bakal dianjurkan oleh Sekretariat Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 bagi merancakkan sambutannya mulai Januari depan.
Turut tersenarai ialah Forum Pelancongan Asean (ATF) 2014 yang bakal menerokai pembangunan mapan pelancongan serantau.
Menurut Pengurus Besar Sekretariat TMM 2014, Nor Yahati Awang, ATF 2014 akan menjadi platform bagi melaksanakan inisiatif tenaga inovatif yang akan memastikan pemuliharaan alam semula jadi untuk generasi akan datang.
Dengan tema "Asean-Memajukan Pelancongan Bersama", penganjuran ATF 2014 dijadual pada 16 hingga 23 Januari di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching, Sarawak.
Acara tahunan ini melibatkan semua sektor industri pelancongan daripada 10 negara anggota ASEAN.
Ia termasuk Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Anjuran ke-33 acara ini sejak penubuhannya di Malaysia pada tahun 1981 bakal disertai 1,600 delegasi selain 1,000 peserta pameran dan pembeli antarabangsa.