Forum Ekonomi Wanita ASEAN 2025 akan diadakan pada Jun tahun depan

Bernama
September 30, 2024 04:00 MYT
Hartini berkata, objektif teras WEF ASEAN 2025 termasuk mewujudkan lebih banyak peluang bagi kaum itu untuk berkembang lebih maju. - Gambar www.datinhartiniosman.com
KUALA LUMPUR: Forum Ekonomi Wanita (WEF) ASEAN 2025 yang akan dijadualkan berlangsung dari 19-21 Jun, 2025 bertujuan bagi menyokong Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Presidennya, Datin Dr Hartini Osman berkata, forum yang bertemakan, 'Women Leaders Beyond Borders: Shaping the Future of the ASEAN Sheconomy', mencerminkan misi WEF untuk merapatkan sempadan, memecahkan halangan dan memperkasakan pemimpin wanita bagi membentuk landskap ekonomi masa depan rantau ASEAN.
Beliau berkata, acara monumental itu akan menghimpunkan pemimpin-pemimpin wanita, usahawan dan pembuat perubahan daripada seluruh rantau ASEAN, mewakili gerakan yang berkuasa untuk meningkatkan peranan dan sumbangan wanita dalam bidang ekonomi.
"Misi WEF ASEAN 2025 adalah jelas, iaitu untuk menyediakan platform inklusif bagi wanita daripada semua sektor untuk berhubung, berkongsi pandangan dan secara kerjasama memacu kemajuan ekonomi.
"Dengan tumpuan kepada kepimpinan dan inovasi wanita, forum ini berhasrat membentuk ekonomi di rantau ini, membantu wanita maju dalam perjalanan profesional mereka dan menyumbang secara bermakna kepada kesejahteraan komuniti mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Terdahulu, dalam ucapannya semasa prapelancaran WEF ASEAN 2025 yang diadakan secara maya hari ini, Hartini berkata, objektif teras WEF ASEAN 2025 termasuk mewujudkan lebih banyak peluang bagi kaum itu untuk berkembang lebih maju.
"Dengan mengumpul para pemimpin, usahawan dan penggubal dasar yang berpengaruh, kami menyasarkan untuk memanfaatkan kekuatan kolektif kepimpinan wanita untuk membina ekonomi yang lebih berdaya tahan dan inovatif bagi rantau ini," katanya. - BERNAMA
#usahawan #WEF ASEAN 2025 #ASEAN #masa depan
;