Formula holistik selesaikan lambakan calon ujian memandu
Sinar Harian
Ogos 18, 2022 05:45 MYT
Ogos 18, 2022 05:45 MYT
SHAH ALAM: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan merangka satu formula bagi penyelesaian menyeluruh masalah lambakan calon ujian memandu di sekolah-sekolah memandu seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, isu tersebut dilihat serius lebih-lebih lagi di sekitar Lembah Klang yang memerlukan penyelesaian segera.
Justeru katanya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga telah diarahkan agar menangani masalah berkenaan secepat mungkin.
“Saya sendiri dan rakan-rakan pimpinan Kementerian Pengangkutan serta agensi di bawahnya, JPJ akan membuat pemantauan di lapangan bagi mendengar pandangan pemegang taruh dan orang awam demi menyelesaikan masalah ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook susulan lawatan mengejut ke Pusat Latihan Memandu Berjaya Berhad di Taman Perling, Johor Baharu pada Khamis.
Beliau yang juga ahli Parlimen Ayer Hitam menjelaskan terdapat seramai 1,518 pemegang Sijil Pengajar Institut Memandu (SPIM) di bawah 32 institut memandu di negeri itu berbanding 3,639 jumlah calon yang ingin menjalani ujian memandu setakat ini.
Ujarnya, disebabkan itu orang awam yang berhasrat mengambil ujian lesen memandu, memerlukan tempoh lebih kurang dua bulan sehingga tiga bulan.
"Tempoh yang sedikit panjang ini pastinya memberi kesan kepada orang ramai khususnya calon-calon yang mahu menjalani ujian memandu dengan segera," katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai hasil lawatan mengejut berkenaan, beliau mendapati institut tersebut telah mencatatkan peningkatan pelajar sebanyak 42 peratus berbanding pada tahun 2018.
"Bilangan tenaga pengajar di Institut Memandu Berjaya turut berkurangan dari 215 pada tahun 2020 kini hanya 185 pada tahun 2022,” katanya. -Sinar Harian