Formasi awan bergulung fenomena semula jadi - menteri

Bernama
Ogos 26, 2016 12:25 MYT
Formasi awan luar biasa berbentuk 'ombak besar' dan 'puting' beliung yang berlaku di Langkap, Teluk Intan, pada pagi Khamis, 25 Ogos, 2016. - Astro AWANI
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mengesahkan telah berlaku formasi pembentukan awan luar biasa di Langkap, Perak pagi semalam dan ia satu fenomena semula jadi.
Menteri berkenaan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata kejadian tersebut berlaku sekitar pukul 10.30 pagi hingga 11 pagi.
Katanya kejadian itu adalah fenomena semula jadi cuaca disebabkan pembentukan garis badai berserta kejadian awan bergulung atau 'roll cloud' dan ia tidak berbahaya seperti garis badai.
Rakaman video dan gambar kejadian itu tersebar menerusi media sosial serta aplikasi WhatsApp dan beberapa penduduk melahirkan rasa gerun kerana pertama kali melihat kejadian itu.
Kejadian sama pernah berlaku di kawasan Pantai Barat Sabah pada 27 Jun lepas; Kota Bharu, Kelantan (Ogos 2015); Sungai Petani, Kedah (2014) dan Kota Kinabalu, Sabah pada Jun 2012.
Garis badai merupakan sekumpulan barisan awan ribut petir bergerak dari arah laut ke daratan dan selalunya berlaku ketika Monsun Barat Daya iaitu dari Jun hingga September di kawasan pantai barat Sabah dan di Selat Melaka.
Awan jenis bergulung pula terbentuk disebabkan oleh ricihan angin menegak iaitu terdapat perbezaan ketara kelajuan dan arah angin.
#awan bergulung #awan luar biasa #Datuk Seri Wilfred Madius Tangau #garis badai #Kementerian Sains #Langkap #Teknologi dan Inovasi
;