Forest City bawa pulangan ekonomi yang baik kepada kerajaan Johor - Anuar
Hafiz Marzukhi
Mac 15, 2017 14:26 MYT
Mac 15, 2017 14:26 MYT
Projek Forest City yang dibangunkan di atas tanah tambak memberi pulangan yang baik kepada Kerajaan Johor, dan walaupun menawarkan pegangan hak milik kekal, ia masih berstatus strata.
Ahli Parlimen Sekijang Anuar Manap memberitahu demikian sebagai menjelaskan isu pemberian hak milik kekal berkaitan projek pembangunan tersebut.
“Saya nak tekankan (tentang) isu tanah di Forest City ini. Ia adalah tanah tambak, bukan tanah asal.
“Maksudnya, asalnya ia adalah kawasan laut cuma ia telah ditambak dengan kos. Jadi apabila ditambak, semua kawasan dalam Forest City itu adalah hak milik kekal tapi dia tak ambil daripada tanah sedia ada,” jelas Anuar.
Tambah beliau, walaupun sebagai hak milik kekal, tapi hartanah itu berstatus strata yang bermakna hak milik tersebut dikongsi secara ramai. Ia juga tidak langsung melibatkan tanah asal negeri.
Sebelum ini, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menimbulkan isu pemberian hak milik kekal di Forest City kepada orang luar atau warga asing.
“Jadi dengan adanya projek ini, walaupun rumah kediaman ini diberi hak milik kekal secara strata tetapi dia sebenarnya beri pulangan yang baik kepada kerajaan Johor.
“Kawasan yang sebelum ini tiada tanah, kemudian ditambak dan diberikan peluang untuk (menjana) pendapatan. Maka ini memberi kebaikan dari sudut ekonomi kepada negeri,” katanya.
#China
#ekonomi
#Forest City
#Kerajaan Johor
#Mahathir Mohamad
#pendapatan
#rumah
#status hak milik
#tanah tambah