Ford Mustang guna nombor pendaftaran palsu ditemui di Alor Setar

Adie Sufian Zulkefli
Ogos 27, 2022 11:25 MYT
Kereta itu telah ditemui oleh anggota Bahagian Penguatkuasa JPJ Kedah ketika melakukan rondaan pada jam 1.30 petang. - Foto JPJ
ALOR SETAR: Sebuah kereta mewah jenis Ford Mustang yang diklon nombor pendaftaran daripada pemiliknya di Sarawak ditemui di sebuah premis perniagaan baik pulih kenderaan di Shahab Perdana, Mergong, pada Jumaat.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam kenyataannya berkata, kereta itu telah ditemui oleh anggota Bahagian Penguatkuasa JPJ Kedah ketika melakukan rondaan pada jam 1.30 petang.
“Berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh pemilik berdaftar kenderaan yang berada di Miri, Sarawak.
“Dengan bantuan Unit Kereta Peronda (MPV) Polis Diraja Malaysia (PDRM), anggota JPJ dan polis masuk ke dalam premis berkenaan dan membuat pemeriksaan terhadap kenderaan itu mendapati terdapat keraguan pada ketukan nombor casis dan warna asal kenderaan terbabit,” katanya.
Kenderaan itu dibawa ke pejabat JPJ Suka Menanti untuk siasatan lanjut dan JPJ sedang mengesan pemilik kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran klon terbabit.
Kes disiasat mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987 dan.
#nombor pendaftaran palsu #Ford Mustang #JPJ #pemilik
;