Food Flotilla for Myanmar: "Saya tak sabar untuk sampai ke Rakhine" - Sukarelawan
Hilal Azmi
Februari 12, 2017 09:58 MYT
Februari 12, 2017 09:58 MYT
Kapal Nautical Aliya belayar pada kelajuan 9 knot dengan cuaca baik di sepanjang perjalanan dari Pelabuhan Yangon menuju ke arah Chittagong, Bangladesh.
Di sepanjang perjalanan, Kapten kapal dan Pegawai Pertamanya sibuk mengawal selia kapal bagi mengelak kelong serta bot nelayan yang ada di sepanjang perjalanan.
Pada masa sama, ada antara sukarelawan mulai demam dan mengalami batuk-batuk mungkin akibat perubahan cuaca tetapi semangat masing-masing masih berkobar-kobar untuk turun ke lapangan bagi membantu pelarian Rohingya.
LAPOR LANGSUNG: Misi bantuan kemanusiaan #FoodFlotillaForMyanmar
"Saya boleh katakan sekurang-kurangnya 60 peratus sukarelawan di sini tidak pernah masuk ke Arakan mahupun mana-mana kem pelarian Rohingya.
"Untuk itu, kami rasa perlu untuk kami kongsikan pengalaman berada di lapangan serta gambaran agar semua sukarelawan faham.
"Sesi tayangan video realiti penderitaan Rohingya diadakan sebagai salah satu aktiviti di sepanjang perjalanan yang panjang ini.
"Ini penting supaya mereka faham situasi yang bakal dihadapi," kata Johan Ariff Ismail, Penerbit Eksekutif Media MAPIM yang banyak membuat kerja dokumentasi untuk Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) sejak beberapa tahun lalu.
Jelasnya lagi, keadaan di lapangan amat berbeza daripada apa yang kita boleh bayangkan, malah banyak perkara yang tiada dalam kawalan kita pun kadangkala boleh berlaku.
Bagi sukarelawan Dunia Melayu Dunia Islam, Saiful Azrin Mohamed Salleh yang pertama kali mengikuti misi seumpama ini, tayangan itu menjadikan persediaan dirinya lebih teratur berbanding sebelumnya.
"Apabila kita dah lihat tayangan, ia dapat bagi sedikit sebanyak gambaran kepada kita tentang situasi sebenar, apa yang berlaku di sana supaya kita lebih bersedia," katanya kepada Astro AWANI.
Video yang menayangkan kekejaman yang berlaku ke atas pelarian Rohingya di Rakhine telah menyentuh perasaan sukarelawan yang menontonnya, lantas ia terus menaikkan semangat juang mereka.
Ada yang menangis dan ada yang marah, ia sedikit pun tidak melunturkan keinginan mereka untuk turun menyaksikan sendiri penderitaan yang dialami umat Islam Rohingya.
"Tidak sabar hendak sampai ke sana. Rasanya kalau boleh segala-galanya kita akan lakukan untuk mereka.
"Saya rasa tak sabar untuk sampai ke sana. Dengan melihat tayangan itu, selain daripada perasaan yang haru biru, ia beri juga satu semangat lagi rasanya.
"Jika ada rezeki untuk merawat mereka di sana, balik saya akan war-warkan realiti penderitaan mereka," kata Sukarelawan Perubatan Misi Food Flotilla for Myanmar, Dr. Rihanah Rafie.
Dalam sidang media pada Sabtu, Ketua Misi, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim memberitahu, pihaknya masih berusaha mendapatkan visa semasa ketibaan (VOA) daripada pihak kerajaan Bangladesh untuk membolehkan lebih 200 sukarelawan yang kini belayar menaiki kapal Nautical Aliya untuk dibenarkan turun ke lapangan.
#'Food Flotilla for Myanmar'
#Abdul Azeez Abdul Rahim
#Bangladesh
#Chittagong
#Nautical Aliya
#Rakhine
#Rohingya
#Sittwe
#Teknaf
#Yangon