Food Flotilla for Myanmar: Barang bantuan selamat tiba di pelabuhan Myanmar
Hilal Azmi
Februari 9, 2017 18:10 MYT
Februari 9, 2017 18:10 MYT
Lebih 500 tan barang bantuan yang dibawa Misi Food Flotilla for Myanmar selamat tiba di Pelabuhan Antarabangsa Thilawa, di sini kira-kira pukul 5:30 petang waktu Malaysia hari ini.
Ketua Misi, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, beliau yakin Duta Besar Malaysia ke Myanmar, Mohd Haniff Abdul Rahman akan terus memantau bagi memastikan barangan bantuan sampai kepada pelarian di Rakhine.
"Kami akan tunggu juga arahan seterusnya sama ada boleh atau tidak untuk singgah di Sittwe, dan yang pasti fasa pertama misi ini selesai," katanya dalam sidang media di sini pada Khamis.
Pada sidang media yang sama, Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pihaknya kini bekerjasama erat dengan kerajaan Myanmar bagi memastikan misi ini berjaya.
"Keterbukaan kerajaan Myanmar untuk terima bantuan ini menunjukkan ia sesuatu yang amat baik.
"Mereka turut akui wilayah Rakhine dan Sittwe antara yang amat memerlukan bantuan," katanya dalam sidang media sama.
Barangan seperti 300 tan beras serta 200 tan kit kesihatan, selimut dan makanan segera disampaikan Ketua Misi, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Presiden Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM) kepada Menteri Kebajikan Masyarakat, Bantuan dan Penempatan Semula Myanmar, Dr Win Myat Aye sambil disaksikan oleh Duta Besar Malaysia, Mohd Hanif Abd Rahman, Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Wilayah Rakhine dan Sittwe merupakan kawasan kritikal yang menempatkan hampir 200,000 pelarian Rohingya setakat ini.
#'Food Flotilla for Myanmar'
#Abdul Azeez Abdul Rahim
#Bangladesh
#Nautical Aliya
#Rakhine
#Rohingya
#Sittwe
#Teknaf
#Yangon