Food Bank Wakaf Rahmah Uniten dilancar, manfaat 1,000 pelajar

Bernama
Mac 7, 2023 20:11 MYT
Fuziah berkata Uniten menjadi universiti pertama melaksanakan program Food Bank Wakaf Rahmah, dan yang ke-30 melaksanakan Food Bank Siswa. - Bernama
KUALA LUMPUR: Program Food Bank Wakaf Rahmah Universiti Tenaga Nasional (Uniten) yang dilancarkan hari ini bertujuan membantu mahasiswa kurang berkemampuan di universiti itu, khususnya golongan B40 dan B10, dalam menangani isu berkaitan kos sara hidup.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata, program itu juga merupakan kesinambungan daripada program Food Bank Siswa yang dilaksanakan kementerian sejak Februari 2019.
Beliau berkata pelaksanaan Food Bank Wakaf Rahmah itu akan memanfaatkan seramai 1,000 pelajar.
"Konsep program ini adalah Food Pantry, dengan Uniten menyediakan tempat penyimpanan sumbangan makanan dari pihak penyumbang serta menyelaras pengagihan sumbangan kepada pelajar mengikut jadual yang ditetapkan," katanya semasa berucap di majlis pelancaran program berkenaan di sini hari ini.
Fuziah berkata Uniten menjadi universiti pertama melaksanakan program Food Bank Wakaf Rahmah, dan yang ke-30 melaksanakan Food Bank Siswa.
"Sehingga kini, program Food Bank Siswa telah diperluaskan kepada 29 Institusi Pendidikan Tinggi, Politeknik serta Institut Pengajian Guru dan telah membantu 21,105 pelajar yang memerlukan," katanya.
-- BERNAMA
#food bank #wakaf rahmah #Uniten #kos sara hidup #pelajar
;