FOMCA sokong penguatkuasaan papan tanda harga baru
Astro Awani
Februari 6, 2014 17:27 MYT
Februari 6, 2014 17:27 MYT
Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menyifatkan langkah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menambahbaik sistem pamer harga dapat menjaga hak pengguna.
Timbalan Presidennya, Muhamad Sha'ani Abdullah berkata, penguatkuasaan tegas terhadap pemaparan tanda harga yang baru membolehkan pengguna merancang perbelanjaan.
Menurutnya, ini bagi memudahkan pengguna melihat harga barangan yang hendak dibeli tanpa perlu bertanya kepada peniaga.
“Ini satu undang-undang wajib untuk semua peniaga meletakkan tanda harga, tetapi masih ramai peniaga tidak mematuhi undang-undang ini. Pengguna selalunya sedar mengenai ketiadaan tanda harga ini semasa hendak membayar dan ini tidak adil buat pengguna,” kata Sha’ani.
Tambah beliau, penguatkuasaan ini perlu diperluaskan kepada peniaga warung dan gerai agar pengguna dapat melihat sendiri harga makanan yang dipilih mereka sebelum membayar.
“Jika pengguna mendapati harga yang perlu dibayar mereka adalah tidak munasabah, maka mereka boleh membuat aduan. Namun mereka memerlukan bukti, sebagai contoh mendapatkan resit bagi membuktikan harga yang ditetapkan peniaga adalah tidak munasabah,” tambahnya.
Klik video bagi mengikuti temubual bersama Muhamad Sha'ani Abdullah.