'Fokus saya RUU pekerja gig, bukan poster' - Steven Sim
Bernama
Februari 26, 2025 22:08 MYT
Februari 26, 2025 22:08 MYT
Steven Sim sewaktu menyampaikan ucapanm sempena perasmian Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini. - Bernama
KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata fokus utamanya ketika ini ialah memastikan Rang Undang-Undang Pekerja Gig berjaya dibentangkan dan diluluskan di Parlimen bagi melindungi hak dan kebajikan golongan terbabit.
Beliau berkata keperluan rang undang-undang itu sangat penting kerana ia bukan sahaja membawa perubahan kepada ekosistem industri gig, malah bakal memberi manfaat kepada lebih sejuta pekerja gig di negara ini untuk kesejahteraan mereka.
Sehubungan dengan itu, beliau tidak mahu isu remeh seperti dakwaan terhadap poster program Town Hall Pekerja Gig 2025 yang dimainkan oleh sesetengah pihak mengganggu usaha berkenaan.
"Pekerja gig di Malaysia memerlukan perlindungan undang-undang yang jelas memandangkan pelbagai janji telah diberikan oleh kerajaan terdahulu, tetapi tidak pernah ada satu rang undang-undang atau mekanisme diwujudkan untuk menjaga kebajikan mereka.
"Tahun ini, kita (kerajaan) sudah ada draf terakhir Rang Undang-Undang Pekerja Gig dan hanya menunggu kelulusan Kabinet sebelum saya membentangkannya di Parlimen. Jadi, perkara itu sebenarnya yang saya nak fokus," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
Baru-baru ini, portal berita melaporkan pengguna Facebook dengan nama akaun Chegubard mendakwa kain rentang bagi promosi satu sesi dialog awam anjuran Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mengandungi gambar gereja dan ia menyifatkan perkara itu sebagai satu usaha pluralisme dan sekularisme.
KESUMA kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya semalam dan menyifatkan tuduhan itu berniat jahat serta cuba membakar sentimen keagamaan dengan niat untuk mencetuskan kegelisahan awam serta memberi persepsi yang buruk terhadap imej kementerian.
Sementara itu, Sim dalam ucapannya pada majlis itu berkata NTW 2025 bakal menjadi edisi yang terbesar, dengan Malaysia berhasrat melatih sejuta orang dalam masa seminggu, menandakan lonjakan ketara daripada penyertaan tahun lepas, iaitu 275,000 orang sekali gus memperkukuh komitmen kementerian untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja.
Beliau berkata NTW ialah karnival latihan kebangsaan terbesar di dunia dan sejak penubuhannya, program itu menyediakan latihan percuma kepada ratusan ribu rakyat Malaysia meliputi pelbagai kemahiran, daripada kecerdasan buatan (AI), analisis data dan keselamatan siber, kepada komunikasi, literasi kewangan dan seni budaya.
Bagi tahun ini, Sim berkata NTW menyasarkan untuk menawarkan 70,000 kursus latihan percuma bernilai lebih RM750 juta dan turut memperkenalkan inisiatif baharu termasuk program Shark Tank yang direka untuk menyokong usahawan muda dalam penjenamaan dan mendapatkan pelaburan.
Satu lagi kejayaan NTW 2025 ialah peluasan di luar Malaysia kerana menurut beliau, dengan Kepengerusian ASEAN-Malaysia tahun ini, NTW akan bekerjasama dengan negara anggota ASEAN untuk mempromosikan pensijilan dan pengiktirafan kemahiran merentas sempadan.
Sim turut berharap menjelang akhir kepengerusian Malaysia, NTW bukan hanya akan menjadi karnival latihan kebangsaan terbesar di dunia, tetapi juga sebagai inisiatif latihan serantau terbesar.
-- BERNAMA