Fokus saringan koronavirus di sempadan darat terhad kepada warga China

Harits Asyraf Hasnan
Januari 30, 2020 12:47 MYT
Jumlah alat pengesan haba atau thermal scanner yang terhad di sempadan darat Malaysia-Singapura menyebabkan Kementerian Kesihatan lakukan saringan koronavirus pada rakyat China sahaja. - Gambar hiasan REUTERS
Jumlah alat pengesan haba atau thermal scanner yang terhad di sempadan darat Malaysia-Singapura menyebabkan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) hanya melakukan saringan novel koronavirus (2019 n-CoV) terhadap rakyat warganegara China sahaja.
Pakar Kesihatan Awam, Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Dr Azmi Abdul Rahim berkata, terdapat jumlah yang begitu besar melibatkan individu yang melalui kedua-dua kompleks tersebut setiap hari.
“Dianggarkan 200,000 melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar, Johor Bahru setiap hari.
“Dengan jumlah thermal scanner yang agak terhad, jadi kami memberi tumpuan kepada pengembara warga China serta mereka yang dilihat berisiko,” katanya kepada media pada sesi Town Hall bersama KKM di sini hari ini.
Difahamkan ketika ini hanya terdapat empat pengimbas suhu di kedua-dua kompleks tersebut.
Beliau bagaimanapun tidak dapat memberi pengesahan bilakah pengimbas suhu yang baharu akan dipasang di sempadan Malaysia-Singapura itu.
Semalam, Astro AWANI melaporkan gesaan Persatuan Pemilik dan Pemandu Teksi ke Singapura yang mahukan saringan yang lebih ketat dijalankan terhadap pemandu dan penumpang di laluan CIQ Johor Bahru terutama ketika kebimbangan orang ramai terhadap wabak novel koronavirus.
Sebelum ini, Kementerian Kewangan menerusi menterinya, Lim Guan Eng memberi jaminan akan memberikan segera peruntukan tambahan untuk 12 pengimbas suhu seperti dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Kata Guan Eng, Kementerian Kewangan akan berbuat apa sahaja seperti yang dipinta kementerian kesihatan demi memastikan rakyat dan negara selamat dan bebas daripada virus itu.
BACA: Nyawa lebih utama daripada impak koronavirus terhadap ekonomi - Guan Eng
BACA: Koronavirus: Pemeriksaan sempadan Singapura-Johor tidak terperinci?
#alat pengesan haba #Kementerian Kesihatan #koronavirus #Malaysia - Singapura #sempadan #thermal scanner
;