Fokus kerjasama dengan ASEAN tangani isu Rohingya
Madiha Abdullah
November 3, 2021 12:45 MYT
November 3, 2021 12:45 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus berusaha dan menjalin kerjasama terutama sekali dengan negara ASEAN bagi menangani isu pelarian Rohingya.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaafar berkata, ini kerana negara sudah menanggung terlalu ramai pelarian Rohingya, dan dalam masa yang sama, perlu berdepan dengan isu yang lebih besar iaitu konflik pemerintahan di Myanmar.
"Usaha kita melalui negara yang menjadi penjanji dan menandatangani isu serta konvensyen berkaitan pelarian juga, hasilnya sangat kecil. Dalam tempoh 18 tahun, kita hanya mampu hantar ke negara ketiga seramai 8,312 orang sahaja ke 10 buah negara antaranya Australia, Kanada, Amerika Syarikat dan Jepun.
"Jadi hasilnya tak begitu membanggakan, kerana itu kita kena teruskan jalin kerjasama kuat dengan negara lain khususnya ASEAN, diakui tidak begitu berjaya apatah lagi kita juga perlu berdepan dengan isu lain yang lebih besar dengan Myanmar, iaitu hal pemerintahan di sana," katanya dalam sesi di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria, yang mahu mengetahui tindakan yang diambil Kementerian Luar Negeri bersama negara-negara ASEAN dan usaha yang telah dilaksanakan bagi menempatkan pelarian Rohingya di negara ketiga.
Tambahnya, kerjasama yang erat sangat diperlukan dalam kalangan ASEAN dan melihat keterbukaan ASEAN dalam menangani isu berkaitan hak asasi manusia, sebagai perkara positif.
"Memang ada implikasi tindakan ASEAN sejak kebelakangan ini terutama dalam isu kedudukan pelarian Rohingya dan Myanmar. Prinsip tidak campur tangan yang selama ini diamalkan ASEAN dilihat dari persepktif baharu, di mana ia tidak menghalang negara-negara anggota untuk beri pandangan, menyentuh malah mengambil tindakan.
"Walaupun tidak secara rasmi, ASEAN kini semakin terbuka dalam mengambil pendirian berkaitan isu pelanggaran hak asasi manusia an rampasan kuasa, di mana prinsip itu sudah didefinisikan dan diberi tindakan baharu," jelasnya.