Fokus kepentingan 33 juta rakyat, Dewan Rakyat 2024 bakal catat sejarah baharu

Faida Rahim
Februari 25, 2024 22:58 MYT
Titah baginda pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor terdahulu harus menjadi rujukan bahawa Dewan itu harus dipelihara kemuliannya dan tidak dicemari dengan sikap mengaibkan.- BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sesi Dewan Rakyat 2024 perlu fokus kepada kepentingan 33 juta rakyat dan bukan hanya mengangkat kepentingan 222 Ahli Dewan.
Penganalisis politik, Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian juga berkata, persidangan esok bakal mencatatkan sejarah baharu di bawah legasi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.
"Selepas itu kita juga akan melihat di bawah Titah Diraja itu, bagaimanakah hala tuju yang mahu dilihat oleh Ke Bawah Duli dalam masa lima tahun akan datang. Saya percaya itu juga akan bawa kepada keterangkuman soal kestabilan politik, soal keamanan, keselamatan dan kesejahteraan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Fokus Minggu Depan pada Ahad.
Tambah beliau, titah baginda pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor terdahulu harus menjadi rujukan bahawa Dewan itu harus dipelihara kemuliaannya dan tidak dicemari dengan sikap mengaibkan.
"Kalau kita boleh jadikan nota kaki rujukan kepada ungkapan dan kenyataan, yang pernah dilontar oleh baginda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor misalnya, dewan itu harus dipelihara kemuliaannya, tidak dicemar.
"Yang Berhormat harus menjadi Yang Berhormat... Dewan tidak boleh menjadi sangkar beruk dan juga tidak ada peghinaan, usaha mengaibkan atau melakukan gerakan-gerakan yang boleh membawa kepada percaturan sehingga menggugat kedudukan mandat yang diberikan kepada rakyat," katanya.
#Sivamurugan Pandian #Sultan Ibrahim #Yang di-Pertuan Agong #Dewan Rakyat
;