Fokus isu lebih penting dari debat Najib, Kit Siang - C4
Astro Awani
Mei 21, 2019 20:53 MYT
Mei 21, 2019 20:53 MYT
Penasihat DAP Lim Kit Siang disaran tidak perlu berbahas dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang kini tidak lagi memegang sebarang jawatan.
Koordinator Pusat bagi Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Sudhagaran Stanley berkata, rakyat hari ini juga tidak berminat untuk mengikuti debat berkenaan.
"Najib kini menghadapi pelbagai pertuduhan di mahkamah dan banyak lagi yang akan datang. Perdebatan sebegini boleh menjadi subjudis dan mungkin menjejaskan perjalanan kes.
"Najib cuba mengawal keadaan dan mendapat populariti di kalangan penyokong di luar bandar, ekstremis tegar, serta penyokong 'Bossku' yang tidak tahu malu dan mereka yang tidak berpelajaran, seperti tidak memahami proses dan perbicaraan mahkamah.
"Dia (Najib) kini berhadapan dakwaan rasuah, pengubahan wang haram dan lain-lain. Dengan berdebat dengannya, sasarannya hanya untuk memanipulasi masyarakat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Terdahulu, Najib menyatakan kesediaan untuk berdebat dengan Kit Siang secara langsung.
Dalam satu catatan di Facebook miliknya, bekas presiden UMNO itu berkata tiada masalah berdebat dengan tajuk pilihan Kit Siang iaitu “How Malaysia became a global kleptocracy, and how we can become a leading nation of integrity.”
Sementara itu, jelas Sudhagaran, persetujuan debat hanya akan membantu Najib mencapai agenda peribadinya.
"Ia tidak ada memberi fokus kepada usaha membina Malaysia Baharu. Majoriti rakyat telah menolak Najib dan Barisan Nasional (BN) dalam PRU lepas.
"Rakyat kini tidak dalam penilaian mengenai siapa yang salah atau betul. Sila fokus kepada perkara yang lebih penting.
"Kepercayaan penuh sekarang harus diletakkan kepada sistem keadilan negara. Menjadi tanggungjawab mahkamah untuk menentukan dia salah atau tidak. Itu yang membuatkan rakyat lebih berminat untuk tahu," ujarnya.
#bahas
#Barisan Nasional
#C4
#DAP
#debat
#kleptokrasi
#Lim Kit Siang
#mahkamah
#Malaysia Baharu
#Najib Razak
#penyokong
#Pertuduhan
#populariti
#PRU
#subjudis
#UMNO