FMM mahu kerajaan tanggung kos saringan COVID-19

Bernama
Mei 10, 2020 04:45 MYT
Kerajaan juga perlu memastikan kit ujian pantas yang mencukupi tersedia untuk semua klinik yang diluluskan melakukan saringan. - Bernama
Dalam menyambut baik keputusan kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun, 2020, Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) mahu kerajaan menanggung kos saringan COVID-19 bagi pekerja.
Dalam kenyataan pada Ahad, Presiden, Tan Sri Soh Thian Lai berkata memandangkan COVID-19 merupakan risiko kesihatan besar terhadap kepentingan awam, kerajaan seharusnya menanggung kos saringan bagi wabak itu.
"Kerajaan juga perlu memastikan kit ujian pantas yang mencukupi tersedia untuk semua klinik yang diluluskan melakukan saringan ke atas pekerja," katanya.
Beliau juga menyarankan kerajaan menambah jumlah makmal dan hospital yang diperakui Kementerian Kesihatan (KKM) serta dimasukkan ke dalam Program Saringan Prihatin, Pertubuhan Keselamatan Sosial untuk membolehkan proses saringan lebih pantas.
Hari ini, semasa menyampaikan perutusan khas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan atas nasihat KKM dan Majlis Keselamatan Negara, PKPB yang berkuat kuasa sehingga 12 Mei, 2020 akan disambung lagi sehingga 9 Jun, 2020.
-- BERNAMA
#COVID-19 #Kementerian Kesihatan #kerajaan #keselamatan #kesihatan #saringan #Soh Thian Lai
;