FMM gesa sistem lebih baik mohon dana, geran dan insentif berkaitan IR4.0
Bernama
Februari 19, 2023 12:20 MYT
Februari 19, 2023 12:20 MYT
KUALA LUMPUR: Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan mewujudkan sistem baharu untuk permohonan dana, geran dan insentif yang ditawarkan kepada pemain industri yang berkaitan inisiatif Revolusi Industri Keempat (IR4.0).
Presiden FMM Tan Sri Soh Thian Lai berkata ini bagi meningkatkan kecekapan selain memastikan lebih banyak syarikat mengambil bahagian dan memohon insentif kewangan berkaitan IR4.0.
"Kami percaya sistem yang lebih cekap juga akan membantu meningkatkan aktiviti pelaksanaan IR4.0 di Malaysia.
"Kerajaan juga boleh menambah baik amalan semasa kerana ia memerlukan masa menunggu yang lama untuk syarikat menerima pembiayaan mereka.
"Selain itu, kerajaan perlu mengkaji untuk mewujudkan lebih banyak program pembangunan sumber manusia melalui kerjasama yang melibatkan universiti, agensi kerajaan serta pemain industri dalam pembinaan kumpulan pekerja separuh mahir dan pakar yang mampu memenuhi keperluan industri termasuk memastikan tenaga kerja yang boleh dipercayai dan bakat bersedia masa depan bagi menyokong penggunaan IR4.0," katanya kepada Bernama.
Susulan pelancaran Dasar Kebangsaan mengenai Industri 4.0 (Industry4WRD) oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada 31 Okt 2018, IR4.0 telah mendapat momentum serta pengiktirafan oleh industri di Malaysia.
Sehingga Disember 2022, sebanyak 1,324 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) telah menyertai program Penilaian Kesediaan Industry4WRD MITI.
Soh menjelaskan antara cabaran utama yang dihadapi pemain industri dalam mengguna pakai IR4.0 ialah kekangan belanjawan. Ini disebabkan, antara lain, pelaburan yang tinggi dalam mesin dan infrastruktur serta kos latihan teknikal.
Beliau berkata selain wujud cabaran kekurangan kemahiran, bakat dan pengetahuan yang diperlukan, industri perlu bergantung kepada pakar profesional serta perunding untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja sedia ada dan menghasilkan bakat masa depan yang mampu menyokong teknologi yang sedang dilaksanakan termasuk sistem robotik, kecerdasan buatan, Internet Pelbagai Perkara, pengkomputeran awan dan integrasi sistem.
Walaupun proses transformasi mungkin mengambil masa bertahun-tahun, apabila pelan dilaksanakan, ia akan membolehkan pengeluar menjadi bijak melabur dalam keupayaan teknologi pembuatan canggih dari semasa ke semasa yang akan memberikan pulangan faedah pelaburan seperti peningkatan kecekapan operasi dan mengurangkan masa henti.
"Selain cabaran kewangan, terdapat juga kurang kesedaran mengenai keperluan dan kesan IR4.0 dalam kalangan pemain industri, terutamanya PKS yang tidak berminat untuk meneroka peluang bagi menerimanya.
"Peningkatan berterusan serta inovasi adalah penting terutamanya dalam era pendigitalan dan pemain industri di Malaysia perlu setanding dengan pengeluar lain di seluruh dunia untuk mengekalkan daya saing mereka. Oleh itu, penggunaan IR4.0 adalah amat kritikal," katanya.
Malaysia, kata Soh, perlu mengambil kira pelbagai aspek bagi mencapai tahap perindustrian yang lebih tinggi, termasuk transformasi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.
Katanya lagi, Malaysia ketinggalan berbanding negara-negara jiran daripada segi peningkatan operasi (mengurangkan aktiviti berintensifkan buruh), penciptaan nilai, produktiviti dan aktiviti inovatif.
"Oleh itu, FMM berpandangan bahawa perlu ada pendekatan menyeluruh dalam melaksanakan dasar, yang melibatkan bukan sahaja mengkaji semula inisiatif teknologi dan teknikal tetapi juga proses pelaksanaan," katanya.
Pendekatan itu perlu bagi menangani beberapa perkara, termasuk garis tanggungjawab yang tidak jelas; kekurangan penyelarasan dalam pelaksanaan dasar serta pemilikan dasar yang tidak disatukan; pelaksanaan dasar termasuk pelaksanaan dasar yang komprehensif; dan pemantauan rapi pelaksanaan.
"FMM berpandangan kerajaan perlu sentiasa memastikan pelaksanaan pelan tindakan dilakukan dengan segera selepas pengumuman dasar dibuat bagi mengurangkan kekeliruan dan gangguan serta meningkatkan pengambilan oleh industri.
"Dalam hal ini, kami ingin menekankan secara khusus bahawa dalam melancarkan projek jalur lebar berkelajuan tinggi negara, kerajaan perlu memastikan sambungan yang lebih menyeluruh diwujudkan dengan cepat, jika tidak serentak, dengan pelancaran ke semua kawasan perindustrian di seluruh negara, dan bukan hanya di Lembah Klang atau kawasan bandar," katanya.
Baru-baru ini, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) juga menggesa pengukuhan bekalan kemahiran Malaysia kerana ia akan menjadi kunci untuk menyediakan sektor perkhidmatan dan pembuatan bagi IR4.0.
Badan pemikir itu menggariskan beberapa cadangan dasar termasuk menggalakkan kerjasama yang lebih besar antara sektor swasta dan institusi latihan, meningkatkan kemahiran serta melatih semula tenaga kerja dan memperkemas program pendidikan termasuk latihan teknikal dan vokasional (TVET) semasa Malaysia.
-- BERNAMA