Fly2Campus bantu pelajar dapatkan penerbangan pulang ke kampus
Bernama
Oktober 2, 2021 17:15 MYT
Oktober 2, 2021 17:15 MYT
KUALA LUMPUR: Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang ingin pulang ke kampus digalakkan menggunakan aplikasi `Fly2Campus' yang telah disediakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi mendapatkan perkhidmatan penerbangan.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Noraini Ahmad menerusi hantarannya di Facebook berkata Fly2Campus ini, merupakan aplikasi yang menjadi rujukan utama bagi penyelarasan jadual penerbangan melibatkan pergerakan dari Sabah-Labuan-Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Jelasnya, keutamaan bagi laluan ini adalah kerana mengambil kira isu berbangkit seperti penerbangan antara Sabah dan Sarawak, yang terpaksa melalui transit di Kuala Lumpur dan mengakibatkan masa perjalanan dan harga tiket yang lebih tinggi.
"Kementerian berhasrat untuk terus mengadakan rundingan strategik dan jalinan kolaborasi bersama pihak penyedia perkhidmatan penerbangan, untuk mendapatkan tawaran harga terbaik bagi para pelajar melalui penyelarasan secara tempahan berkumpulan atau penerbangan tempatan khas mengikut kesesuaian," katanya.
Mengulas lanjut, Noraini berkata KPT sentiasa prihatin dan peka terhadap kebajikan dan permasalahan para pelajar, khususnya melibatkan kos tiket penebangan yang tinggi dan membebankan mereka.
Sehubungan itu, KPT menyeru dan mempelawa para pelajar yang telah menerima pemakluman untuk masuk ke kampus secara fizikal daripada pihak Institusi Pengajian Tinggi bermula 15 Okt ini, agar mendaftar sebagai pengguna, mengemaskini maklumat peribadi dan maklumat perjalanan di pautan https://iptpelajar.mohe.gov.my.
Pendaftaran dibuka mulai semalam sehingga 12 tengah hari, 6 Okt.
-- BERNAMA