Flotilla belayar ke wilayah Rakhine selewat-lewatnya 3 Feb

Bernama
Januari 11, 2017 06:45 MYT
misi melibatkan pelayaran kapal kemanusiaan Nautical Aliya dinaiki 200 aktivis dari lapan negara, akan membawa 1,000 tan bantuan makanan dan ubat-ubatan ke wilayah itu. - Gambar fail
Misi 'Food Flotilla for Myanmar' yang membawa bantuan kemanusiaan kepada kelompok terjejas di wilayah utara Rakhine, Myanmar, akan belayar dari Pelabuhan Klang di sini, selewatnya-lewatnya 3 Feb depan.
Ketua misinya Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata misi melibatkan pelayaran kapal kemanusiaan Nautical Aliya dinaiki 200 aktivis dari lapan negara, akan membawa 1,000 tan bantuan makanan dan ubat-ubatan ke wilayah itu.
"Kerajaan Myanmar tidak menolak permohonan kita (untuk hantar bantuan makanan). Kita masih menunggu kelulusan Myanmar (untuk urusan pengagihan) tapi kami akan belayar pada 3 Feb ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau pusat pengumpulan barangan misi flotilla di Masjid Nurul Amin, Kampung Delek di sini, pada Rabu.
Turut hadir Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid dan wakil dari Turkiye Diyanet Vakfi (TDV), Taskin Bumin Ayranci.
Misi itu dianjurkan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) dan Mapim dengan kerjasama Yayasan TDV dari Turki.
Dalam pada itu, Abdul Azeez berkata misi flotilla akan menghantar dua pasukan perintis ke Myanmar dan Bangladesh dalam masa terdekat bagi pengurusan logistik serta persediaan awal dan mereka dijangka pulang ke tanah air pada 20 Jan ini.
Beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Pertubuhan Migrasi Antarabangsa di Bangladesh bagi menguruskan bantuan kemanusiaan itu di Teknaf, Bangladesh.
"Kami difahamkan, terdapat seramai 60,000 migran Rohingya dan Sitwi, Myanmar berada di Teknaf.
"Bantuan kemanusiaan yang kita bawa bukan hanya untuk etnik Rohingya beragama Islam tetapi juga untuk etnik lain yang terjejas," katanya dan menambah pihaknya memerlukan sekurang-kurangnya 300 tan beras bagi misi berkenaan. -- Bernama
#'Food Flotilla for Myanmar' #Abdul Azeez Abdul Rahim #Rakhine #Rohingya
;