Flotila kemanusiaan: Bangladesh tidak benar berlabuh kerana keadaan pelabuhan, bukan halang misi
Bernama
Februari 10, 2017 10:34 MYT
Februari 10, 2017 10:34 MYT
Berikut adalah kenyataan penuh dari Kementerian Luar Negeri berkenaan larangan berlabuh oleh Bangladesh sebelum ini:
Keputusan Kerajaan Bangladesh untuk tidak membenarkan Misi Food Flotilla berlabuh di Teknaf adalah disebabkan oleh faktor keadaan pelabuhan dan bukannya kerana menghalang flotilla tersebut untuk ke Teknaf seperti yang dilaporkan oleh media.
Pelabuhan Teknaf adalah cetek, dengan kedalaman hanya tiga meter, sedangkan kapal terbabit memerlukan kedalaman sekurang-kurangnya lapan meter untuk bergerak tanpa halangan menuju ke pelabuhan.
Setelah melawat kesemua pelabuhan yang dicadangkan oleh Kerajaan Bangladesh, pasukan peninjau (advance team) dari Kelab Putra 1 Malaysia (KP1M) telah memutuskan bahawa pilihan terbaik ialah Pelabuhan Chittagong.
Sebelum Misi Food Flotilla ini bergerak dari Malaysia, KP1M telahpun bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Bangladesh melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka dalam mencari jalan terbaik untuk mengedarkan bantuan kemanusiaan ini yang amat diperlukan oleh pelarian Rohingya berhampiran Teknaf.
Kerajaan Malaysia optimis bahawa semua isu teknikal akan dapat diselesaikan seawalnya bersandarkan kepada hubungan dua hala yang amat baik antara kedua-dua negara. Malaysia mengalu-alukan kejayaan misi Food Flotilla ke Bangladesh ini.