Floria Putrajaya 2013 bakal dihiasi 400,000 bunga dan tumbuhan

Bernama
Mei 30, 2013 17:20 MYT
Kira-kira 400,000 pokok bunga dan tumbuh-tumbuhan pelbagai spesies termasuk 5,000 pokok bunga Orkid bakal menghiasi Persiaran Tasik, Presint 2 di sini, pada Festival Bunga dan Taman Putrajaya (Floria Putrajaya 2013) bermula 22 hingga 30 Jun ini.
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata festival bertema 'Bunga Orkid - Khazanah Tropika' itu akan mempamerkan lebih 200 spesies, kultivar dan hibrid orkid dalam bentuk taman dan gubahan.
"Floria Putrajaya kali ke-6 ini bakal mewarnakan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan ini sebagai 'intelligent garden city' dengan kepelbagaian flora yang berwarna-warni dan menonjolkan identiti Putrajaya sebagai sebuah Bandar Dalam Taman dan Bandar Bunga-bungaan," katanya pada prapelancaran Floria Putrajaya 2013, di sini hari ini.
Tengku Adnan berkata lebih sejuta pengunjung domestik dan pelancong asing dijangka datang pada festival kali ini.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr J. Loga Bala Mohan, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Adnan Md Ikhsan dan Presiden Perbadanan Putrajaya Tan Sri Aseh Che Mat, Presiden Universiti Lim Kok Wing, Tan Sri Dr Lim Kok Wing.
Floria Putrajaya merupakan pameran bunga dan taman berbentuk festival yang dianjurkan Perbadanan Putrajaya (PPj) dan disokong Kementerian Wilayah Persekutuan.
Festival itu yang mendapat sambutan memberangsangkan daripada masyarakat, mempamerkan produk komersil industri hortikultur dan landskap, pertunjukan taman, demonstrasi oleh pereka taman dan pertunjukan bunga-bungaan dari dalam dan luar negara.
Tengku Adnan berkata penganjuran Floria Putrajaya 2013 akan menampilkan beberapa konsep dan elemen baharu yang lebih kreatif dan inovatif seperti longest landscape vertical wall, perarakan bot berhias, 'Magic of The Night', Taman Diraja, Taman Inovasi, dan Taman Jamuan Teh.
Selain itu, beliau berkata lebih 200 aktiviti akan diadakan sepanjang sembilan hari festival termasuk ceramah dan bengkel perkebunan, demonstrasi gubahan bunga, pertandingan fotografi, lukisan cat air, penghasilan kraf tangan dan lain-lain.
Katanya sebanyak 50 ruang niaga akan disediakan bagi pengusaha dalam industri berkaitan memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka.
Sementara itu, Aseh berkata PPj mahu menjadikan Floria Putrajaya satu jenama yang unggul dalam pertunjukan bunga-bungaan di peringkat antarabangsa seperti Chelsea Flower Show di London.
"Selaras dengan usaha untuk menjadikan Putrajaya Bandar Dalam Taman, Floria Putrajaya menjadi serampang dua mata iaitu meningkatkan keindahan Putrajaya dan dalam masa yang sama menggalakkan industri pelancongan negara," katanya.
Floria Putrajaya 2013 akan menampilkan 23 peserta dari 18 negara iaitu Afrika Selatan, Australia, Chile, China, Filipina, Hong Kong, Itali, Jepun, Jerman, Kanada, Korea, Myanmar, New Zealand, Singapura, Taiwan, Thailand, United Kingdom dan Vietnam serta tuan rumah Malaysia.
#orkid #Putrajaya #Tengku Adnan
;